KOTA KINABALU - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkemungkinan besar tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu masih akan dibincangkan dalam mesyuarat gabungan berkenaan, namun pendirian awal GRS adalah untuk memberi laluan kepada parti yang memenangi kerusi tersebut sebelum ini."Saya ingat kita akan bincang dalam GRS, tetapi saya ingin nyatakan kemungkinan besar kita tidak akan bertanding."Kita akan bagi penghormatan kepada parti yang menang. Kebetulan mereka dalam kerajaan negeri sekarang," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini pada Selasa.Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung perbincangan daripada pihak GRS adakah akan mengemukakan calon di dua kerusi yang ketika ini kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin.Tambah Hajiji, GRS bersedia membantu parti terbabit bagi memastikan kemenangan dalam PRK tersebut, selain mengadakan perbincangan lanjut bersama pimpinan tertinggi UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah."Kita akan bantu mereka untuk memenangi pilihan raya kecil itu. Saya akan berbincang dengan Presiden UMNO dan Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)."Itu yang kita mahu bincang (untuk dua kerusi), tetapi prinsipnya kita akan bagi laluan," katanya.Beliau bagaimanapun meminta semua pihak menunggu keputusan rasmi selepas perbincangan dibuat di peringkat tertinggi gabungan berkenaan.Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pengundian bagi PRK bagi kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN tersebut akan berjalan secara serentak pada 24 Januari depan.Bung Moktar yang juga bekas Ketua UMNO Sabah dan Pengerusi BN Sabah meninggal dunia pada 5 Disember lalu akibat komplikasi buah pinggang dan paru-paru selepas enam hari kemenangannya di DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).