Sukan SEA: Miki Ghazali singkir lawan usia 36 tahun

PETARUNG Muay Thai negara, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar mengesahkan tempat ke final acara lelaki 57 kilogram (kg) Suka SEA 2025 Thailand selepas menewaskan wakil Laos, Thongbang Seuaphom dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok pada Selasa.Beraksi agresif sejak awal perlawanan, atlet berusia 16 tahun yang lebih dikenali sebagai Miki itu menguasai pusingan pertama apabila memaksa lawannya yang berusia 36 tahun menerima kiraan berdiri (standing count), sekali gus memberinya kelebihan mata 10-8.Miki meneruskan tekanan pada pusingan kedua untuk mendahului 10-9, sebelum Thongbang yang terdesak tampil lebih agresif pada pusingan ketiga dengan beberapa kombinasi berbahaya dalam usaha mengejar mata.Bagaimanapun, kelebihan awal membolehkan Miki mengekalkan penguasaan dan mengesahkan kemenangan.Kejayaan itu melayakkan Miki mara ke pentas final dalam penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan pada temasya dwitahunan berkenaan.Sebelum ini, adik kepada bintang Muay Thai sensasi negara, Johan ‘Jojo’ Ghazali Zulfikar, menampilkan aksi meyakinkan apabila menewaskan wakil Filipina pada peringkat suku akhir menerusi serangan bertali arus yang memberi tekanan berterusan kepada lawan.Terdahulu, Insyad Rumijam, Nur Amisha Azrilrizal, Wassof Rumijam dan Eva Anastasia Warren muncul sebagai finalis terawal Malaysia dan dijadual berentap merebut gelaran pada Rabu.