Amanah besar ketika ekonomi negara diuji - Johari

SHAH ALAM – Pelantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) merupakan satu amanah besar.Beliau menggalas tanggungjawab penting ketika Malaysia sedang berdepan dengan persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar.Cabaran tersebut dipengaruhi oleh ketidaktentuan geopolitik, perubahan landskap perdagangan serta perkembangan teknologi yang pesat, yang memerlukan kepimpinan proaktif dan strategi berkesan bagi memastikan ekonomi negara terus stabil.Johari dalam kenyataannya pada Selasa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab baharu ini.Beliau menegaskan, MITI memainkan peranan penting dalam memastikan daya saing ekonomi negara terus terpelihara, keyakinan pelabur diperkukuh, serta dasar perdagangan dan perindustrian negara terus memberikan manfaat nyata kepada rakyat.Pelantikan Johari dilakukan menerusi rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri di Putrajaya pada petang Isnin.