MPC pacu transformasi industri berimpak tinggi menerusi AI

SHAH ALAM – Kerajaan melalui Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) terus memperkukuh agenda produktiviti nasional dengan pelaksanaan Program AI untuk Produktiviti 2025, satu inisiatif strategik yang memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu utama peningkatan kecekapan industri dan daya saing ekonomi negara.Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, inisiatif itu merupakan langkah penting untuk mencapai sasaran pertumbuhan produktiviti buruh tahunan sebanyak 3.6 peratus menjelang 2030 selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).Tegasnya, AI kini merupakan faktor kritikal dalam memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi global yang semakin berasaskan teknologi dan inovasi."Pestasi Malaysia dalam IMD World Competitiveness Yearbook (WCY) 2025 menunjukkan peningkatan apabila negara berada di kedudukan ke-23 daripada 69 ekonomi dunia. Laporan tersebut turut menekankan keperluan untuk memperkukuh aspek kecekapan perniagaan, khususnya produktiviti syarikat, amalan pengurusan dan kesiapsiagaan digital tenaga kerja."Dalam konteks ini, AI dilihat sebagai pemangkin utama dalam mempercepat transformasi industri selari dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030," katanya ketika berucap menyempurnakan perasmian Program AI untuk Produktiviti 2025 di sini pada Selasa.Program AI untuk Produktiviti 2025 direka sebagai platform berimpak tinggi untuk mempercepat penerimagunaan AI dalam industri melalui pendekatan praktikal dan terukur serta memberi tumpuan kepada automasi proses, penggunaan analitik data pintar, pengoptimuman tenaga kerja serta pembentukan budaya organisasi berteraskan inovasi dan penambahbaikan berterusan.Bertemakan Empower Learning, Drive Lasting Productivity, program tersebut menghimpunkan pemain industri, penggiat teknologi serta wakil sektor perkilangan dan perkhidmatan dari seluruh negara bagi berkongsi pengalaman, kejayaan dan pembelajaran pelaksanaan projek AI dalam organisasi masing-masing.Dalam program berkenaan juga syarikat tempatan berkongsi showcase utama transformasi digital, sekali gus menjadi penanda aras amalan terbaik industri dan menerima pengiktirafan di peringkat nasional.Jana pendapatan RM400 jutaSementara itu, menurut Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr Mazrina Mohamed Ibramsah, MPC memainkan peranan penting sebagai pemangkin produktiviti dengan memastikan teknologi AI dapat diaplikasikan secara praktikal oleh industri."Sehingga kini, sebanyak 600 projek Proof of Concept (PoC) AI untuk Produktiviti telah berjaya dilaksanakan merangkumi automasi kilang, AI dalam proses pengeluaran, pengoptimuman tenaga kerja dan analitik pelanggan masa nyata."Projek-projek ini telah menjana penciptaan nilai melebihi RM400 juta, membuktikan bahawa pelaburan dalam AI memberikan pulangan yang jelas, cepat dan terukur," katanya.Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif itu bukan hanya memberi manfaat kepada syarikat besar, malah memberi penekanan kepada syarikat kecil, vendor tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meningkatkan kapasiti digital dan berkembang menjadi syarikat yang lebih berdaya saing dalam rantaian industri.Sebagai sebahagian daripada ekosistem program, MPC juga telah melaksanakan 200 program pembangunan kapasiti AI melibatkan 3,500 peserta daripada 2,143 syarikat dan hasil pelaksanaannya merangkumi penjimatan kos, pengurangan masa kerja, pengoptimuman proses dan penciptaan inovasi baharu yang menyumbang secara langsung kepada peningkatan produktiviti industri."Program ini digerakkan melalui kerjasama strategik antara MPC dan rakan industri bagi mempercepat penerapan AI dan penyelesaian digital sebagai pemacu kepada operasi yang lebih produktif, tangkas dan inovatif."Integrasi teknologi digital bukan sahaja mengurangkan kos dan meningkatkan ketepatan keputusan, malah memendekkan masa proses serta memperkukuh daya saing syarikat dalam persekitaran perniagaan yang semakin berorientasikan data," tambah beliau.Penggunaan teknologi AIDalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Victorious Step (VStep) Sdn Bhd, Hairul Mubarak Ibrahim berkata, menerusi penggunaan AI, syarikatnya yang merupakan pengeluar produk plastik untuk Proton Holdings Bhd (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dapat menjimatkan kos sebanyak RM15 juta setahun atau RM12.5 juta sebulan."Kita telah jalankan satu projek yang dinamakan sebagai Smart Quality Control Apps untuk memudahkan kerja di bahagian operasi dan meningkatkan lagi kemahiran di bahagian pengeluaran. Tanpa aplikasi ini, kerja dibuat secara manual dan mungkin menyebabkan ada kerja tidak dapat dilakukan dengan baik."Kerja yang tidak sempurna boleh mengakibatkan kita tidak dapat pensijilan IATF 16949 yang merujuk kepada standard antarabangsa untuk sistem pengurusan kualiti automotif yang dibangunkan oleh Pasukan Petugas Automotif Antarabangsa (IATF). Pensijilan ini perlu ada untuk bekalkan produk automotif kepada Proton dan Perodua," ujarnya.Pengurus Besar Sunchirin Industries (Malaysia) Bhd, Mohd Pauzi Amat memberitahu, syarikatnya membangunkan teknologi AI dan teknologi internet kebendaan (IoT) sendiri untuk memudahkan kerja pemeriksaan produk dan memantau mesin pengeluaran secara automatik."MPC dengan kerjasama Perodua tawarkan kepada kami untuk memulakan penggunaan AI dan IoT, jadi kami menjadi salah satu syarikat yang sahut cabaran ini. Kami telah guna pakai AI untuk pemeriksaan barangan sebelum ia keluar kepada pelanggan serta buat kombinasi AI dan IoT untuk pantau mesin output secara automatik dalam masa nyata."Dengan inisiatif ini, kita dapat mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan produktiviti," kata beliau.Ketua Digitalisasi ERS Energy Sdn Bhd, Low Kang Sheng pula memaklumkan, pihaknya mengimplementasikan teknologi AI ekoran perkembangan syarikat yang pesat dan permintaan terhadap industri tenaga solar yang semakin meningkat."Kami guna pakai teknologi AI dalam perkongsian maklumat secara dalaman dan buat transformasi laporan produktiviti dalaman syarikat yang sebelum ini dibuat secara manual," jelasnya.