SHAH ALAM - Datuk Seri R Ramanan memulakan tugas sebagai Menteri Sumber Manusia selepas dilantik menerajui kementerian berkenaan pada Selasa, dengan komitmen untuk memperkasa agenda pembangunan tenaga kerja negara secara menyeluruh, inklusif dan berdaya saing.Ramanan turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas amanah berkenaan.Beliau yang sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkata, pelantikan itu merupakan satu tanggungjawab besar yang menuntut dedikasi serta komitmen tinggi demi memenuhi harapan rakyat dan negara."Saya juga, mewakili komuniti India di negara ini, ingin mengucapkan ‘Nandri’ (terima kasih) kepada YAB Perdana Menteri yang telah memberikan penghormatan dan mandat ini untuk menggalas tugas sebagai Menteri Sumber Manusia," ujarnya menerusi satu kenyataan pada Selasa.Beliau berkata, perjumpaan bersama kepimpinan tertinggi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan diadakan dalam tempoh terdekat selepas selesai proses menghadap dan mengangkat sumpah.Pada masa sama, Ramanan turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta seluruh warga kementerian itu atas sokongan dan kerjasama sepanjang hampir dua tahun beliau berkhidmat di KUSKOP.Menurutnya, kerjasama padu semua agensi berkaitan telah membolehkan pelbagai usaha dilaksanakan bagi memperkasakan agenda pembangunan ekonomi komuniti India di negara ini.