BANGKOK - Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin berada dalam kelas tersendiri selepas merangkul pingat emas sambil mencipta rekod baharu temasya pada Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Suphachalasai di sini, hari ini.Ini merupakan emas peribadi ketujuh berturut-turut Muhammad Irfan sejak beliau mula mendominasi acara itu pada edisi 2013 di Myanmar.Lebih manis, pada edisi kali ini, atlet kelahiran Negeri Sembilan itu akhirnya berjaya memadam rekod temasya 59.50 meter (m) yang bertahan selama 26 tahun, yang dicipta Wong Tuck Yim dari Singapura pada edisi 1999 di Brunei.Dalam saingan hari ini, lemparan sejauh 60.23m pada percubaan kedua sudah memadai untuk Muhammad Irfan mengesahkan pingat emas, sekali gus mencipta rekod baharu temasya.Atlet Thailand Srisai Kiadpradid meraih perak dengan catatan 53.82m, manakala gangsa menjadi milik atlet Filipina, Ricaforte Russel Je, yang merekodkan 53.34m.Sementara itu, hasrat seorang lagi atlet negara Jonah Chang Rigan untuk menempatkan diri di podium tidak kesampaian apabila menamatkan saingan di tempat keempat dengan catatan 50.63m.Kejayaan Muhammad Irfan turut menyumbang kepada emas kelima skuad olahraga negara di sini, selepas Grace Wong dalam acara baling tukul besi wanita, Jonah (lontar peluru lelaki), Nani Sahirah Maryata (lontar peluru wanita) dan Andre Anura dalam acara lompat jauh lelaki. - Bernama