PONTIAN – Sebanyak 26 Bahagian UMNO di Johor membuat laporan polis terhadap aktivis, Fahmi Reza susulan hantaran di media sosial yang didakwa menghina dan merendahkan institusi Diraja Johor.Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, hantaran dimuat naik individu berkenaan di Facebook didakwa menggambarkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail seolah-olah boleh bertindak sesuka hati tanpa had sempadan, akauntabiliti dan batasan undang-undang.Beliau mendakwa, Fahmi Reza turut menyamakan institusi Diraja dengan dinasti selain menggunakan bahasa bersifat menghina, termasuk memuat naik visual serta melakukan tindakan provokatif di tempat awam."Ketika dalam perjalanan pulang dari Pontian ke Johor Bahru hari ini, saya terbaca dan melihat hantaran berkenaan di Facebook milik individu terbabit," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian pada Selasa.Md Israk yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai berkata, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Akta Hasutan 1948 serta peruntukan undang-undang lain yang berkaitan."Saya berharap pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang," katanya.