KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang ditubuhkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya tidak dapat menentukan secara konklusif siapa yang terlibat memalsukan dokumen yang dipertikaikan.Laporan setebal 59 muka surat yang dikongsi FAM itu memaklumkan ia akibat kegagalan Notari Awam yang mengesahkan dokumen berkenaan untuk memberi kerjasama serta ketidakupayaan mengesan ejen tujuh pemain warisan berkenaan meskipun usaha munasabah telah dilakukan.Jawatankuasa itu bagaimanapun dengan jelas menyatakan siasatan mendapati wujud kegagalan serius dalam pengawasan, usaha wajar dan kawalan pentadbiran pengurusan FAM yang telah membenarkan insiden itu berlaku tanpa pengesanan atau intervensi."FAM dinasihatkan untuk segera membuat laporan polis, ambil tindakan tatatertib dalaman yang sewajarnya susulan kegagalan pemantauan dan melaksanakan reformasi struktur yang disyorkan IIC."Tindakan ini penting untuk mengelakkan insiden serupa daripada berulang dan memulihkan kredibiliti serta integriti operasi FAM."Kes Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap FAM dan tujuh pemain itu adalah untuk kepentingan awam. IIC berpandangan laporan ini harus didedahkan kepada umum," menurut laporan penuh IIC mengenai hukuman FIFA terhadap FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.FAM memaklumkan pihaknya menerima laporan siasatan IIC yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif pada 3.30 petang tadi.Sehubungan itu, Jawatankuasa Eksekutif FAM akan mengadakan mesyuarat khas pada 22 Dis bagi membincangkan dapatan laporan siasatan tersebut secara terperinci sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.IIC juga mengesyorkan agar Jawatankuasa Tatatertib FAM memulakan prosiding dalaman terhadap Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman untuk menentukan sama ada beliau gagal melaksanakan tahap pengawasan dan usaha wajar yang sepatutnya."Syor ini dibuat tanpa prejudis dan tidak membayangkan sebarang penemuan mengenai penglibatan peribadi Setiausaha Agung dalam dakwaan pemalsuan yang didakwa," menurut laporan itu.Laporan berkenaan juga menyatakan bahawa kes FIFA telah mendedahkan kelemahan dalam proses dokumentasi, pengawasan ejen, protokol pengesahan dan struktur peyeliaan dalam FAM.IIC juga menekankan bahawa bagi mengembalikan keyakinan, melindungi integriti bola sepak Malaysia dan menyelaraskannya dengan piawaian tadbir urus antarabangsa, FAM harus melaksanakan pembaharuan.Jawatankuasa bebas itu mencadangkan FAM melaksanakan pembaharuan struktur dan prosedur yang menyeluruh untuk mengukuhkan pengawasan serta kawalan pentadbiran, sambil mengambil langkah pencegahan untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang dan mengembalikan kredibiliti serta integriti operasi FAM.Sebelum ini, FAM mengesahkan telah mengemukakan rayuan kepada CAS berhubung hukuman yang dikenakan FIFA membabitkan isu dokumentasi tujuh pemain warisan, iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.Keputusan untuk membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dibuat susulan FIFA mengeluarkan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan setebal 64 muka surat pada 3 November, yang mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA.Keputusan tersebut menyaksikan FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala tujuh pemain terbabit digantung selama 12 bulan dan masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (kira-kira RM10,000) setiap seorang.- Bernama