KUALA LUMPUR - Puisi merupakan roh bangsa dan warisan yang merentas zaman, selain menjadi medium halus yang menghubungkan manusia dengan budaya dan peradaban.Seniwati Negara, Datuk Rosnani Jamil berkata, puisi berupaya menyampaikan makna yang tidak mampu diungkapkan dengan kata biasa serta memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri bangsa.Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Baca Puisi Bulanan PEMUISI DI DBP 19.0 di Dewan Datuk Abdul Rahim Bakar, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini.Menurut Rosnani yang lebih dikenali sebagai ‘Mak Nani’, penganjuran majlis baca puisi bukan sekadar menghimpunkan pemuisi, malah memastikan denyut nadi bangsa terus bergema melalui keindahan bahasa dan estetika sastera. "Dengan adanya majlis puisi, estetika bahasa meniti kembali takhta dan jati diri bangsa diukir melalui kehalusan seni yang luhur," katanya.Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dan DBP atas jemputan merasmikan program berkenaan serta penganjuran sesi Wawancara Khas berkaitan pelibatan beliau dalam dunia seni dan perfileman.Sementara itu, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan berkata, penghormatan diberikan kepada Rosnani amat wajar memandangkan sumbangan besarnya kepada seni dan budaya negara.Dalam majlis sama, PEMUISI melancarkan buku terbitan ke-28 bertajuk Antologi Puisi Sahabat yang menghimpunkan 100 puisi hasil karya 20 pemuisi tanah air dengan kerjasama Firdaus Publications.Presiden PEMUISI, Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata, kehadiran Seniwati Negara itu memberi makna besar kepada usaha persatuan berkenaan dalam memartabatkan puisi, sastera dan seni budaya warisan bangsa.Lebih 150 pemuisi, sasterawan, pelajar universiti dan peminat puisi hadir memeriahkan program anjuran PEMUISI dengan kerjasama DBP itu.