IPOH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak menyifatkan pelantikan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu sebagai satu langkah tepat dan selari dengan keperluan semasa golongan belia negara.Ketuanya, Ashraf Kahasani berkata, pelantikan pemimpin muda berusia 29 tahun itu diyakini mampu membawa nafas baharu serta memahami denyut nadi anak muda khususnya dalam aspek pembangunan belia dan sukan.Jelas beliau, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan rombakan kabinet yang diumumkan pada Selasa turut memberi ruang lebih luas kepada golongan muda untuk terlibat secara langsung dalam pentadbiran negara."Kita menyambut baik rombakan kabinet ini kerana ia bukan sekadar pertukaran jawatan, tetapi satu strategi baharu untuk memberi yang terbaik kepada negara dan rakyat."Yang paling kita berpuas hati apabila dua pemimpin muda daripada AMK diberi kepercayaan menganggotai kabinet, iaitu YB Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan serta YB Chiew Choon Man sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Back To School AMK Perak di Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ipoh Barat di sini pada Selasa.Ashraf berkata, lantikan tersebut membuktikan AMK bersedia memperkasa peranan belia di peringkat nasional di bawah kepimpinan Ketua AMK Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim.Menurutnya, pelantikan pemimpin muda dalam kabinet Kerajaan Madani memberi peluang kepada golongan tersebut untuk belajar dan memimpin, selain menyumbang idea segar demi kepentingan rakyat."Ini adalah langkah terbaik apabila orang muda diberi peluang memimpin. Ia bukan sahaja membuka ruang khidmat yang lebih luas kepada belia, malah selaras dengan komitmen Kerajaan Madani untuk memperkasa peranan golongan muda."Kita melihat beberapa rombakan Kabinet ini bukan bertujuan lain, ia adalah untuk memberikan yang terbaik kepada negara dan juga masyarakat," katanya.Mengulas lanjut, Ashraf berkata, pengalaman sebelum ini apabila Adam Adli dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan membuktikan bahawa pemimpin muda mampu memainkan peranan penting dalam kementerian berkenaan.Katanya, pelantikan Muhammad Taufiq sebagai menteri penuh diyakini dapat memberi kelegaan kepada belia kerana kementerian itu kini diterajui individu yang benar-benar memahami keperluan serta cabaran golongan muda.Ashraf turut berharap isu-isu berkaitan pembangunan infrastruktur sukan, penyelenggaraan gelanggang rakyat serta kesinambungan program pembangunan atlet dapat diberi perhatian serius.Menurutnya, kejayaan atlet negara meraih pingat dalam temasya seperti Sukan SEA dan kejohanan antarabangsa perlu diteruskan melalui dasar serta sokongan yang konsisten.Dalam perkembangan sama, Ashraf memaklumkan Program Back To School AMK Perak berjaya mengagihkan 300 baucar bantuan persekolahan kepada keluarga yang memerlukan di seluruh negeri.Katanya, inisiatif itu bertujuan meringankan beban ibu bapa dan penjaga menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu, selain mencerminkan komitmen AMK untuk terus menyantuni semua lapisan masyarakat.