'Johari pilihan tepat teraju MITI' - Reezal

KEPALA BATAS – Pelantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang baharu disifatkan sebagai keputusan tepat berdasarkan pengalaman luas beliau dalam sektor korporat dan pentadbiran kewangan negara.Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, latar belakang Johari yang berasal dari arena korporat menjadikan beliau memahami denyut nadi serta kehendak sebenar industri dan pemain korporat.Menurutnya, Johari bukan sahaja memiliki pengalaman luas dalam dunia perniagaan dan memegang syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, malah beliau pernah memegang jawatan penting dalam kerajaan termasuk terlibat secara langsung dalam ekosistem kewangan negara."Beliau pernah menjadi Menteri Kewangan dalam erti kata ekosistem, semua perjalanan mengenai pentadbiran kewangan negara, beliau tahu."Beliau mempunyai pengalaman yang lengkap dan menyeluruh, bermula daripada sektor korporat hingga ke bangku penyokong kerajaan (backbenchers)."Dengan pendedahan dan pengalaman luas itu, saya percaya tidak ramai yang mempunyai 'well-rounded exposure' seperti Datuk Seri Johari untuk memahami ekosistem perdagangan dan pelaburan negara," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Graduasi Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Pinang Tunggal di sini pada Selasa.Dalam pada itu, Reezal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam turut menyifatkan Johari sebagai calon terbaik untuk meneruskan kesinambungan tugas yang sebelum ini dipikul oleh Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz."Saya yakin pelantikan ini adalah pilihan terbaik dan negara akan mampu mencatat lonjakan yang lebih tinggi berbanding sebelum ini," tambahnya.Beliau berharap Kabinet baharu yang dibentuk dapat mengukuhkan tadbir urus kerajaan dengan memastikan komunikasi yang pantas dan berkesan bersama rakyat.Katanya, sebarang isu yang dibangkitkan rakyat tidak wajar dibiarkan berlarutan tanpa jawapan tuntas agar Perdana Menteri tidak berdepan tekanan secara bersendirian."Rombakan Kabinet ini diharapkan dapat memberi lebih banyak kebaikan kepada rakyat, seterusnya membawa kestabilan serta kemakmuran negara yang lebih berpanjangan," katanya lagi.Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Johari, yang sebelum ini menyandang jawatan Menteri Perladangan dan Komoditi, dilantik sebagai Menteri MITI yang baharu menerusi rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diadakan.Pelantikan itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pengumuman khas mengenai barisan Kabinet baharu.Manakala jawatan Timbalan Menteri MITI diisi oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.Sebelum ini, jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri disandang oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, manakala Timbalan Menterinya pula ialah Liew Chin Tong yang kini dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan.