BALING – Lelaki yang bertindak menikam nenek serta moyang dalam kejadian di Kampung Baru Bakai di sini pada Selasa dipercayai mengamuk sebelum bertindak sedemikian.Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Brandon Richard Joe berkata, orang awam memaklumkan kejadian itu kepada polis yang bertugas di Balai Polis Malau pada kira-kira jam 7 malam.Menurutnya, suspek berusia 21 tahun yang juga cucu kepada mangsa maut kemudiannya dibawa oleh orang awam ke balai polis untuk tindakan lanjut."Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah batu setingkat yang didiami si mati, mangsa serta seorang anak si mati. Suspek merupakan cucu kepada si mati."Suspek dikenal pasti sebagai individu orang kurang upaya (OKU) intelektual dan disyaki mengamuk sebelum menyerang kedua-dua mangsa menggunakan senjata tajam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Beliau berkata, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan, manakala mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.Tambah beliau, suspek ditahan pada kira-kira jam 7.50 malam pada hari sama bagi membantu siasatan."Suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan mengaku telah menyerang si mati dan mangsa di tempat kejadian," katanya.Menurutnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Seksyen Baling pada Rabu bagi permohonan reman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.Dalam pada itu, polis memandang serius kejadian berkenaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan.Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang warga emas maut ditikam cucu sementara ibu mangsa parah dalam kejadian dalam sebuah rumah di Kampung Baru Bakai di sini pada Selasa.