Puad Zarkashi cabar Adam Adli hapuskan PTPTN

JOHOR BAHRU – Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Adam Adli, dicabar untuk menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).Mengucapkan tahniah atas pelantikan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan portfolio tersebut paling sesuai untuk Adam kerana beliau sebelum ini amat lantang bersuara mengenai isu hutang PTPTN."Bolehlah hapuskan hutang PTPTN. Tolong bersuara nyaring untuk hapuskan hutang PTPTN dalam mesyuarat pasca Kabinet KPT (Kementerian Pengajian Tinggi). Baru nampak berbaloi tidur dalam khemah di Dataran Merdeka."Itu yang Rafizi kata Hidupkan Idealisme Reformasi Ujian Kuasa (HIRUK). Jadi pembangkang memang mudah, tapi bila berkuasa baru tahu tinggi dan rendah langit. Takkan nak tidur lagi di Dataran Merdeka," katanya menerusi hantaran di Facebook.Rombakan Kabinet Kerajaan Persekutuan pada Selasa menyaksikan portfolio Adam bertukar daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.Semasa era aktivisme mahasiswa sekitar tahun 2010, Adam merupakan antara pendukung utama pendidikan percuma di Malaysia dan berkempen secara agresif untuk pemansuhan pinjaman PTPTN.