Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd terus mengorak langkah dalam agenda kelestarian negara dengan memperkenalkan produk inovatif hasil kitar semula sisa kumbahan iaitu baja biopepejal.Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha waste-to-wealth IWK yang menukar bahan buangan kepada sumber bernilai dan sesuai digunakan bagi tanaman bukan makanan.Langkah tersebut bukan sahaja memperkukuh peranan IWK sebagai peneraju dalam ekonomi kitaran, tetapi juga membuka lembaran baharu dalam pengurusan sisa yang lebih lestari di Malaysia.Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama lslam Malaysia (MKl) Kali Ke-126 yang bersidang pada 26 hingga 28 Syaaban 1446 bersamaan 25 hingga 27 Februari 2025 telah membincangkan mengenai Penggunaan Biopepejal dari Loji Rawatan Kumbahan Tinja Manusia Sebagai Sumber Penghasilan Baja Organik.Muzakarah telah yakin dan berpuas hati dengan hujah dan fakta yang telah dikemukakan oleh penyelidik dan berpandangan hukum menghasilkan dan menggunakan baja organik daripada pemprosesan biopepejal IWK yang selamat dan bermanfaat adalah diharuskan.Ketua Pegawai Operasi IWK, Ir Mohd Taufik Salleh berkata, pengiktirafan itu menandakan penerimaan positif terhadap inisiatif IWK dalam memastikan setiap proses rawatan dan penghasilan baja biopepejal mematuhi garis panduan syariah serta standard keselamatan yang ditetapkan."Pengiktirafan ini amat bermakna buat IWK kerana ia bukan sahaja mengesahkan bahawa baja biopepejal kami selamat digunakan, tetapi juga dapat memberi keyakinan masyarakat, terutamanya dalam kalangan pengguna Islam terhadap usaha syarikat menguruskan sisa kumbahan secara mampan," katanya menerusi satu kenyataan.Menurut Mohd Taufik, IWK turut menerima sokongan Majlis Agama Islam Pahang yang telah mengeluarkan fatwa membenarkan penggunaan biopepejal hasil daripada proses rawatan kumbahan sebagai bahan penghasilan baja organik.Memetik laman web rasmi Jabatan Mufti Negeri Pahang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Bilangan 02/2025, ahli mesyuarat telah bersetuju bahawa hukum menghasilkan dan menggunakan baja organik daripada pemprosesan biopepejal IWK yang selamat dan bermanfaat adalah diharuskan.Namun, ahli mesyuarat jawatankuasa berpandangan sebarang hasil tanaman yang bersentuhan dengan baja tersebut hendaklah dibersihkan terlebih dahulu sebelum digunakan kerana baja tersebut bersifat najis."Fatwa ini membuktikan bahawa inovasi dalam pengurusan kumbahan mampu seiring dengan prinsip syariah dan kelestarian alam, insya-ALLAH," katanya.Sumber nutrien berkesanMelangkaui aspek pematuhan syariah, sokongan terhadap penggunaan baja biopepejal IWK turut diperkukuh oleh keputusan Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Mengenai Alam Sekitar (MEXCOE) yang diadakan pada 6 Oktober 2025.Dalam kenyataan media berhubung mesyuarat tersebut, ahli-ahli mesyuarat bersetuju untuk menerajui dan mengutamakan penggunaan baja organik yang dihasilkan daripada biopepejal di bawah pengurusan IWK.Menurut Mohd Taufik, sisa pepejal yang diperoleh selepas proses rawatan air kumbahan akan melalui beberapa peringkat rawatan lanjut seperti penebalan (thickening), penstabilan (stabilisation) dan pengeringan (drying) bagi memastikan ianya selamat digunakan."Baja biopepejal IWK ini mengandungi kira-kira empat peratus unsur NPK (nitrogen, fosforus dan kalium), menjadikannya sumber nutrien yang berkesan untuk memulihkan tanah terdegradasi."Sebagai baja organik, ia turut berperanan membantu menyeimbangkan semula tahap keasidan tanah yang terjejas akibat penggunaan baja kimia berpanjangan, sekali gus meningkatkan kesuburan dan kesihatan ekosistem tanah secara semula jadi," jelasnya.Melalui usaha ini, IWK bukan sahaja berjaya mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, malah menjadikan sumber yang dulunya dianggap tidak berguna sebagai produk bernilai tinggi untuk sektor pertanian.Inisiatif penghasilan baja biopepejal ini membuktikan bahawa pengurusan sisa kumbahan merupakan peluang untuk menjana nilai baharu kepada masyarakat dan ekonomi negara.Melalui pendekatan berasaskan ekonomi kitaran, IWK terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju inovasi hijau memastikan setiap sisa diurus dengan selamat, lestari dan memberi manfaat semula kepada bumi.