SUBANG JAYA - Pengasas dan pemegang amanah Jeffrey Cheah Foundation (JCF) Tan Sri Sir Dr Jeffrey Cheah akan menyalurkan RM100 juta setiap tahun selama lima tahun bermula 2026 bagi memperkukuh tawaran pendidikan tinggi yang berkualiti serta penyelidikan bertaraf dunia di Sunway University.Jeffrey Cheah berkata, sumbangan berjumlah RM500 juta itu sejajar dengan matlamat yayasan yang ditubuhkan untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan bukan demi mencari keuntungan."Ini kerana pendidikan ialah pelaburan jangka panjang yang perlu diperkukuh bagi memastikan peluang menimba ilmu terbuka kepada semua golongan. Saya berharap usaha ini dapat menginspirasikan lebih ramai pihak membantu pelajar melalui pemberian biasiswa," katanya selepas Majlis Biasiswa dan Anugerah JCF 2025 di mana biasiswa dan geran yang bernilai sejumlah RM75 juta telah diagihkan.Sejak penubuhannya, JCF telah menganugerahkan biasiswa dan geran yang bernilai sejumlah RM967 juta dan akan mencecah melebihi RM1 billion pada tahun 2026.Tahun ini, melebihi 6,700 pelajar telah menerima pelbagai biasiswa daripada JCF untuk melanjutkan pengajian tinggi mereka.Turut berangkat pada majlis itu ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang menyempurnakan penyampaian anugerah kepada 96 penerima yang menghadiri majlis tersebut.Biasiswa berkenaan merangkumi Sir Jeffrey Cheah Sunway Medical School Scholarship for Doctor of Medicine Programme yang dianugerahkan buat kali pertama dan Jeffrey Cheah Foundation Community Scholarship yang ditawarkan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah bagi mombolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.Tambah Jeffrey Cheah, pembangunan berterusan itu juga bertujuan menjadikan Universiti Sunway setaraf dengan universiti terkemuka dunia seperti Harvard, Cambridge, Oxford dan Massachusetts Institute of Technology (MIT)."Kami baru berusia 20 tahun sedangkan Cambridge sudah 800 tahun, Oxford 900 tahun dan Harvard 380 tahun. Saya percaya dengan asas yang kukuh, kita akan sampai ke tahap itu suatu hari nanti."Saya mahu memastikan yayasan ini terus hidup dan kekal memberi manfaat kepada universiti, kolej dan sekolah antarabangsa di bawah Sunway yang berlandaskan prinsip kemampanan serta tanggungjawab sosial," katanya.Dalam pada itu, beliau berkata, Sunway turut menumpukan pelaburan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), tenaga hijau dan teknologi awan bagi memastikan pelajar bersedia menghadapi dunia pekerjaan masa hadapan."Kami bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam pembangunan tenaga hijau, AI dan pusat data. Sunway Construction Group Berhad (SunCon) kini sedang membangunkan pusat data terbesar di rantau ini."Dengan usaha berterusan serta sokongan semua pihak, kami yakin dapat mencapai kejayaan lebih besar. Kini, Pusat Perubatan Sunway dilengkapi peralatan berteknologi tinggi terbaik di Malaysia dan pelajar perlu mengetahui cara menggunakannya kerana dunia perubatan hari ini dipacu oleh teknologi," katanya.Kenangan paling berharga penerima biasiswaSementara itu, salah seorang penerima Sunway-Victoria University Excellence Scholarship, Lian Yong Hern, 20, berkata, pengiktirafan yang diterima itu menjadi kenangan paling berharga sepanjang pengajian."Saya gembira dan bertuah dapat menerima antara anugerah dan peng- hormatan tertinggi. Lebih bermakna apabila saya merupakan satu-satunya penerima anugerah ini."Biasiswa ini bukan sahaja membantu dari segi akademik, tetapi turut memberi peluang untuk memperluas pengalaman pembelajaran di luar negara melalui program pengajian di Australia," katanya.Yong Hern yang juga merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan di Victoria University berkata, pelajar yang mahu mencapai kejayaan seharusnya menyeimbangkan pencapaian akademik dengan penglibatan aktif dalam aktiviti luar bilik darjah."Selain belajar bersungguh-sungguh, saya juga menyertai lebih banyak aktiviti kokurikulum bagi membina kemahiran kepimpinan dan komunikasi," katanya.Seorang lagi penerima biasiswa The Chancellors Scholarship, Kashveeny Punniya Seelan, 19, berkata, anugerah yang diterima menjadi penghargaan besar selepas melalui pelbagai cabaran untuk mencapai kejayaan."Saya tidak menyangka terpilih menerima biasiswa ini selepas beberapa kali gagal dalam permohonan sebelum ini. Ia benar-benar berbaloi selepas segala usaha keras yang telah saya lakukan."Biasiswa ini membantu saya memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran tanpa perlu risau tentang perkara lain. Ia juga mendorong saya menjadi lebih aktif dalam kelab dan persatuan kerana program ini menekankan kepimpinan pelajar," ujarnya.Kashveeny yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kecerdasan Buatan berpandangan, pelajar lain perlu terus berusaha dan tidak mudah berputus asa walaupun berdepan kegagalan dalam mencapai impian."Teruskan usaha dan jangan sesekali menyerah walaupun pernah ditolak beberapa kali. Saya sendiri berharap dapat memperoleh keputusan cemerlang 4.0 untuk pengajian ijazah ini," katanya.Bagi penerima Sunway University Excellence Scholarship, Vong Jun Yi, 20, berkata, biasiswa itu menjadi penghargaan besar selepas berdepan persaingan sengit dalam kalangan pelajar lain."Saya tidak menyangka terpilih sebagai salah seorang penerima yang bertuah. Pengiktirafan ini membantu meringankan beban kewangan dan memberi peluang untuk saya menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran."Ia mendorong untuk terus berjaya dan saya berharap dapat menyumbang kembali kepada universiti serta negara pada masa hadapan," katanya.Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Pengiklanan dan Penjenamaan dari Taiping Perak,Intan Kamalia Kamarulzaman,21, berkata, anugerah itu sangat bernilai selepas beberapa kali gagal mendapatkan pelbagai biasiswa termasuk ke luar negara."Biasiswa The Chancellors Scholarship ini banyak membantu dari segi kewangan dan memberi peluang untuk saya mencuba pelbagai perkara baharu dalam pengajian serta aktiviti universiti."Kategori kepimpinan itu turut membuka lebih banyak ruang untuk saya menyertai pelbagai program universiti yang berteraskan pembangunan diri dan kepimpinan," katanya.