Mayat warga emas terapung dalam tali air, jatuh kerusi roda

BAGAN DATUK - Seorang warga emas kurang upaya (OKU) ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh dari kerusi roda ke dalam tali air di Jalan Kampung Sungai Tiang Baru, Selekoh di sini pada Rabu.Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 7.52 pagi melibatkan seorang lelaki berusia 77 tahun.Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, kerusi roda milik mangsa ditemui berada di tepi tali air menimbulkan syak bahawa mangsa telah terjatuh ke dalam saliran berkenaan."Operasi pencarian yang dijalankan berjaya menemui mangsa dalam keadaan terapung di bawah jambatan Sungai Tiang, kira-kira dua meter dari lokasi dipercayai mangsa terjatuh," katanya dalam kenyataan di sini.Beliau berkata, ketua operasi kemudiannya mengarahkan anggota menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari dalam air.Katanya, pemeriksaan lanjut dilakukan oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian."Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya.Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.20 pagi selepas keadaan disahkan terkawal.