KUANTAN – Seramai 122 pelajar dan 20 kakitangan termasuk keluarga mereka terjejas dalam kejadian banjir yang melanda Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) di sini sejak Selasa.Naib Canselor UniPSAS, Profesor Datuk Dr Mohd Zawawi Zainal Abidin berkata, semua pelajar dipindahkan ke tingkat dua bangunan asrama, manakala kakitangan yang terlibat diarahkan bekerja dari rumah.Menurutnya, aktiviti universiti kini lumpuh ekoran kawasan kampus dinaiki air kira-kira satu meter."Pelajar yang berada di kampus ketika ini terdiri daripada pelajar baharu, manakala pelajar sedia ada masih berada di luar kerana mengikuti kelas secara dalam talian hingga Februari tahun depan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.Banjir yang melanda UniPSAS berlaku susulan limpahan air Sungai Belat ekoran hujan lebat berterusan sejak Isnin.Ketika ini, Jalan Pekan–Kuantan di kedua-dua arah berhampiran universiti itu ditutup kepada semua kenderaan apabila laluan sepanjang 1.2 kilometer dinaiki air sedalam 0.77 meter.Banjir yang kembali melanda negeri ini menyaksikan seramai 2,027 mangsa daripada 626 keluarga terpaksa dipindahkan ke 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah terjejas sehingga jam 8 pagi Rabu.Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang memaklumkan bahawa Kuantan mencatat jumlah tertinggi dengan 13 PPS dibuka, melibatkan 607 keluarga dan 1,953 penduduk terjejas.Sementara itu, di Maran, dua PPS dibuka bagi menempatkan 19 keluarga melibatkan 74 mangsa.