KEPALA BATAS - Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyeru semua pihak agar tidak terlalu mendesak dan memberi tekanan berlebihan berhubung isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).Sebaliknya, beliau berkata, semua pihak perlu berusaha untuk mengharmonikan sistem pendidikan arus perdana.Menurutnya, melalui sistem pendidikan arus perdana, ia telah terbukti mampu melahirkan pemimpin berbilang kaum yang berkualiti."Malaysia sejak dahulu dibina melalui rundingan dan perundingan, dan pendekatan itu wajar terus menjadi panduan dalam wacana nasional."Kita kini berada dalam Kerajaan Perpaduan, maka tidak wajar untuk menekan Perdana Menteri dengan desakan-desakan yang boleh menjejaskan keharmonian."Perbezaan pandangan masih boleh disuarakan, namun semua pihak digesa berbuat demikian dengan beradab dan berhemah," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Graduasi Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Pinang Tunggal di sini pada Selasa.Reezal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam berkata, pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkara tersebut adalah jelas dan selaras dengan prinsip serta dasar yang telah lama diguna pakai.Beliau berkata, apa yang diperlukan negara ketika ini ialah mencari titik persamaan dan mewujudkan persefahaman bersama."Bukti sudah ada. Anthony Loke, Steven Sim, Hannah Yeoh dan Howard Lee bukan produk UEC, namun mereka mampu muncul sebagai pemimpin yang baik."Begitu juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang melalui pelbagai institusi pendidikan tempatan," katanya lagi.Tambah beliau, kejayaan tokoh-tokoh tersebut membuktikan bahawa sistem pendidikan arus perdana berupaya melahirkan pemimpin berkualiti sekiranya diharmonikan dengan baik."Kalau sistem ini boleh melahirkan pemimpin seperti mereka, kenapa kita tidak boleh melahirkan ribuan lagi pemimpin seumpamanya?"Tiada kegagalan pun sebenarnya, yang perlu ialah keharmonian," ujarnya.Media sebelum ini melaporkan Anwar berkata, tuntutan pengiktirafan UEC hanya menjurus kepada satu kaum dan satu bahasa sahaja, sedangkan kerajaan berpegang kepada prinsip asas negara yang melibatkan kepentingan semua rakyat.Beliau berkata, kerajaan akan terus mempertahankan dan menjunjung prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan berkaitan status bahasa Melayu.Katanya, usaha yang perlu dilakukan ialah memperkasakan penggunaan bahasa Melayu, menjadikannya sebagai bahasa ilmu yang dapat diakses oleh semua rakyat di negara ini.