Kes tembak Durian Tunggal: Ketua Polis Melaka ambil tanggungjawab penuh

MELAKA – Polis Melaka terbuka menerima keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengarahkan siasatan kes tembakan melibatkan tiga suspek di Durian Tunggal diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya sejak awal telah menyerahkan sepenuhnya siasatan kes berkenaan kepada Bukit Aman."Kita tidak masuk campur langsung dan ini menunjukkan ketelusan dalam menjalankan siasatan. Kita juga tidak berat sebelah dan akur dengan apa jua keputusan yang dibuat."Sekiranya benar ada pihak yang terlibat dengan sebarang kesalahan, kita akan memastikan tindakan sewajarnya diambil," katanya ketika mengulas keputusan AGC berhubung kes tembakan di Durian Tunggal.Pada Selasa, AGC mengarahkan siasatan kes melibatkan tiga lelaki yang ditembak mati oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Melaka diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.Menurut AGC, pihaknya telah dirujuk berhubung laporan kes tersebut dan berdasarkan taklimat serta cadangan yang dikemukakan oleh PDRM, jabatan itu bersetuju untuk mengarahkan klasifikasi semula siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.Dzulkhairi menegaskan bahawa beliau mengambil tanggungjawab penuh sebagai Ketua Polis Negeri dalam apa jua keadaan, dan menekankan bahawa semangat serta komitmen anggota PDRM Melaka tidak terjejas."Kami akan terus memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Melaka sentiasa terpelihara."Semangat kami tidak luntur, anggota juga berada dalam keadaan baik dan menjalankan tugas seperti biasa. Tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan kerana kita menjalankan tugas mengikut prosedur dan undang-undang."Sejak awal lagi saya telah tekankan kepada pegawai dan anggota supaya kita bekerja dengan hati. Insya-ALLAH, apabila kita bekerja dengan penuh keikhlasan, kebenaran akan sentiasa bersama kita," ujarnya.Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa seorang anggota polis yang cedera akibat dilibas parang dalam operasi berkenaan kini telah dibenarkan keluar dari hospital dan berada dalam keadaan stabil, namun masih dalam cuti sakit.Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa pendedahan status hubungan seorang wanita dengan suspek serta rekod jenayah yang dimiliki dibuat berdasarkan fakta dan bukan bertujuan mengelirukan masyarakat."Sekiranya perkara itu tidak berasaskan fakta, kita tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan. Penjelasan tersebut dibuat susulan dakwaan yang tular di media sosial."Individu berkenaan mempunyai 10 rekod tangkapan dan perlu difahami bahawa tangkapan adalah berbeza dengan sekadar dipanggil untuk memberi keterangan."Jika hanya diambil keterangan, ia tidak direkodkan sebagai rekod jenayah. Namun, sekiranya berlaku tangkapan, ia akan direkodkan," jelasnya.