Kabinet baharu diuji isu ekonomi, rasuah dan polemik dasar – Syahir

SHAH ALAM - Pembentukan Kabinet baharu Kerajaan Madani yang diumumkan mengundang pelbagai reaksi, termasuk persoalan sama ada susunannya dibuat berasaskan merit atau sekadar untuk mengekalkan konsesi politik dalam kerajaan campuran yang dilihat semakin rapuh.Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan portfolio Menteri Kewangan, pemberian portfolio yang lebih strategik kepada DAP serta kedudukan UMNO yang kelihatan sekadar berpuas hati dengan jawatan diterima mencerminkan realiti politik semasa pentadbiran negara.Menurut beliau, perhatian utama Kabinet seharusnya diberikan kepada dua kementerian dengan peruntukan bajet terbesar iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan kerana kedua-duanya memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat."Selain itu, dua kementerian yang menjadi agenda besar DAP iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Wilayah juga perlu diberikan perhatian khusus, terutama berkaitan isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pelaksanaan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dibantah banyak pihak," ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.Syahir menegaskan, ujian sebenar Kabinet baharu bukan sekadar pada pengumuman barisan menteri, sebaliknya terletak kepada ukuran prestasi serta persepsi rakyat terhadap keupayaan kerajaan mentadbir.Dalam masa terdekat, ujarnya, beberapa isu besar menuntut pendirian tegas Kabinet termasuk soal ekonomi, rasuah, ratifikasi Perjanjian ART serta polemik berkaitan URA dan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)."Justeru, Kabinet perlu lulus ‘ujian bunyi’ untuk sekian kalinya," tambahnya.