'Arwah baik, saya sempat tegur maklong dua hari lepas' - Pengerusi JPKKP

BALING - Nenek yang maut akibat ditikam oleh cucunya dalam kejadian di Kampung Baru Bakai,di sini pada Selasa, disifatkan sebagai seorang wanita yang baik hati serta mesra apabila disapa penduduk setempat.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Baru Bakai, Muhamad Faizal Yahya berkata, beliau sempat bertegur sapa dengan warga emas tersebut dua hari sebelum kejadian."Arwah baik... Saya sempat tegur maklong (nenek) yang meninggal dunia itu dua hari sebelum kejadian, ketika dia sedang menyapu sampah di halaman rumah, manakala saya pula sedang meronda membawa anak menaiki motosikal."Ketika melalui kawasan rumahnya, saya tanya maklong sihat tak, dan dia jawab sihat, alhamdulillah. Namun, tak sangka hari ini (semalam), dia sudah tiada," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Rabu.Dalam masa sama, Muhamad Faizal mengakui terkejut sebaik mengetahui kejadian terbabit selepas waktu Isyak dan terus bergegas ke lokasi bagi mendapatkan maklumat lanjut."Tak nampak pun sebarang perubahan pada arwah, cuma dia memang ada sakit kencing manis... Cucu nenek tu saya kenal macam tu sahaja, sebab kadang-kadang dia duduk sini, kadang-kadang balik rumah dia di Penaga," katanya lagi.Menurut beliau, pihak JPKKP akan menyalurkan bantuan dan sokongan moral kepada keluarga mangsa setakat yang termampu.Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki berusia 21 tahun yang juga cucu kepada mangsa ditahan polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Brandon Richard Joe berkata, permohonan reman ke atas suspek yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) telah dibenarkan selama tujuh hari.Menurutnya, dalam kejadian tragis itu, mangsa berusia 65 tahun maut akibat ditikam di bahagian belakang badan, manakala ibu mangsa yang berusia 80 tahun parah di bahagian leher dipercayai ditetak.