Pas dakwa pusat kuasa Wilayah Persekutuan terlalu tertumpu

SHAH ALAM - Pas memandang serius pelantikan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, selain mengekalkan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Wilayah Persekutuan yang meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bukan sekadar portfolio biasa.Beliau berkata, sebaliknya ia merupakan jantung politik dan pentadbiran negara yang memerlukan pertimbangan teliti serta keseimbangan dalam pelantikan kepimpinan.Menurutnya, pemusatan pentadbiran strategik bandar, kerajaan tempatan dan perumahan di bawah pemimpin daripada satu parti serta latar belakang etnik yang sama menimbulkan persoalan sah berkaitan ketidakseimbangan, pemusatan kuasa melampau dan hala tuju sebenar pentadbiran negara.Pas turut mengambil perhatian terhadap persepsi meluas bahawa pelantikan berkenaan tidak dibuat berasaskan merit atau keperluan dasar, sebaliknya didakwa dipengaruhi tekanan dan tawar-menawar politik, termasuk spekulasi berkaitan tuntutan DAP dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)."Sekiranya jawatan Kabinet digunakan sebagai ‘bunga emas’ politik bagi mengekalkan sokongan dan kesetiaan mana-mana pihak, ia merupakan hakisan serius terhadap idea dan institusi kerajaan berprinsip."Ini sekali gus melemahkan integriti proses pembentukan serta penggubalan dasar negara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut menyuarakan kebimbangan bahawa rombakan berkenaan dilihat sebagai percaturan untuk mengukuhkan dominasi DAP di Kuala Lumpur dan pusat bandar utama lain, sekali gus membolehkan sesebuah parti membentuk dasar perbandaran, penggunaan tanah, perumahan dan kerajaan tempatan tanpa semak dan imbang yang berkesan serta telus.Tambahnya, pemusatan kuasa sedemikian berpotensi menimbulkan keresahan awam, terutama dengan cadangan inisiatif undang-undang kontroversi seperti Akta Pembangunan Semula Bandar (URA) yang didakwa boleh meminggirkan kelompok tertentu di bandar, khususnya orang Melayu dan golongan berpendapatan rendah, termasuk risiko kehilangan hak milik.Takiyuddin berkata, pendekatan pentadbiran yang dilihat mengutamakan kepentingan politik elit bandar sambil mengabaikan sentimen rakyat akar umbi berisiko melebarkan jurang perpecahan dalam masyarakat serta menyumbang kepada kelunturan kesatuan kebangsaan.Dalam masa sama, beliau berkata, Pas turut mendapati pelantikan beberapa menteri dan timbalan menteri lain menimbulkan keraguan dari segi kekananan, pengalaman, kompetensi, kredibiliti dan kesesuaian, sedangkan portfolio terbabit melibatkan kepentingan penting termasuk generasi muda, pendidikan dan hal ehwal Islam."Tanpa justifikasi yang meyakinkan, rombakan Kabinet ini hanya akan mengukuhkan tanggapan bahawa kedudukan dalam Kabinet diagih mengikut selera politik, bukan berteraskan kepentingan rakyat dan negara," ujarnya.Takiyuddin menegaskan kepimpinan bukan sekadar mengatur bilangan anggota bagi mengekalkan kuasa, sebaliknya berkait rapat dengan amanah, kebijaksanaan dan tanggungjawab terhadap rakyat."Rombakan Kabinet sepatutnya memulihkan keyakinan rakyat, merapatkan jurang perpecahan serta mencerminkan kemajmukan masyarakat melalui perwakilan adil dan pelantikan berasaskan merit, kematangan serta pandangan jauh," tambahnya.