SHAH ALAM - Penceramah bebas, Dr Badrulamin Bahron, juga bapa saudara kepada Marhamah Rosli tampil menjelaskan beberapa isu berbangkit melibatkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baru dilantik itu.Menurut Badrulamin, beliau menyedari nama anak saudaranya menjadi sebutan dan kecaman beberapa pihak tentang dana berkaitan Allahyarham Zara Qairina Mahathir, penipuan emas serta ajaran 'New Age'.Beliau menjelaskan bahawa Marhamah dan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat telah mendapat permit dari Jabatan Ketua Menteri, malah pihak polis turut dimaklumkan mengenai tabung tersebut."Audit dalaman juga sudah dibuat dan dilaporkan kepada polis. Dana ini untuk membantu keluarga dan saksi hadiri persiapan, mesyuarat berkaitan inkues serta prosiding mahkamah. Tiada nama Marhamah dalam akaun tersebut cuma nama peguam, ibu Zara Qairina dan wakil NGO."Saya yakin Marhamah akan gunakan pengalamannya selaku aktivis dan pendakwah untuk melakukan yang terbaik selain mengadakan libat urus bersama agamawan serta pihak berkepentingan demi bersama-sama membangunkan syiar Islam di Malaysia."Soal penipuan emas, saya wajib tegaskan Marhamah bukan ejen sebaliknya mangsa penipuan dan polis telah jalankan siasatan. Anak saudara saya juga memberi kerjasama penuh kepada pihak polis selama ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perubahan dalam barisan Kabinet Kerajaan Madani yang antara lain menyaksikan pertukaran portfolio beberapa menteri dan timbalan menteri termasuk pelantikan muka baharu sebagai timbalan menteri.Marhamah yang dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), mengangkat sumpah sebagai Senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah pada petang hari sama.Bagaimanapun, timbul beberapa dakwaan antaranya Marhamah dikaitkan dengan program, kenyataan atau pendekatan yang dikatakan mempunyai unsur fahaman 'New Age' sehingga mengundang kecaman warga maya.Mengulas tentang perkara tersebut pula, Badrulamin menegaskan pendekatan yang digunakan anak saudaranya itu berasaskan al-Quran dan Sunnah dengan bahasa sesuai untuk masyarakat hari ini.Jelas beliau, ia bukan ajaran baharu, tetapi usaha untuk menyampaikan nilai Islam secara berhikmah dan mendidik jiwa.Katanya lagi, isu Marhamah dan 'New Age' hanya mainan persepsi, malah tiada bukti daripada mana-mana pihak apatah lagi pengakuan tuan empunya badan bahawa dirinya penganut ajaran berkenaan."Saya kenal anak saudara saya dan saya yakin Marhamah sentiasa terbuka kepada teguran ilmiah berpandukan institusi agama yang berautoriti."Islam mendidik kita agar mengamalkan konsep keseimbangan, namun Islam juga menekankan aspek hikmah dan tabayyun iaitu semak fakta, elak fitnah, tegas dalam akidah, lunak dalam muamalah dan menilai idea serta pendekatan, bukannya menghukum niat tanpa bukti."Selaku bapa saudara, saya yakin Marhamah mampu menggalas tugas dan amanah yang diberi. Terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan ini," ujar beliau.