Kes tembak Durian Tunggal: PN sokong langkah AGC klasifikasi semula siasatan

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengalu-alukan langkah Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengklasifikasikan semula kematian tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka bulan lalu sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu penting dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang, kepentingan akauntabiliti dan kepercayaan awam bahawa kes kehilangan nyawa akan disiasat secara menyeluruh, telus serta bebas tanpa prejudis."Terutama sekali apabila wujud keraguan mendalam terhadap penjelasan awal kes oleh pihak polis."Kami juga menggesa semua pihak berkaitan memberikan kerjasama penuh kepada pasukan penyiasat dan bersikap profesional, sekali gus membenarkan proses undang-undang berjalan secara bebas agar keadilan dapat ditegakkan."Ahli Parlimen PN akan terus memantau rapat perkembangan kes ini demi kepentingan kebenaran dan keadilan, kepercayaan awam serta integriti institusi negara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Jabatan Peguam Negara pada Selasa mengarahkan siasatan kes tiga lelaki yang ditembak mati di Durian Tunggal oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.Menurut AGC, pihaknya telah dirujuk berhubung laporan kes berkenaan dan berdasarkan taklimat serta cadangan yang dikemukakan oleh PDRM, jabatan itu bersetuju untuk mengarahkan klasifikasi semula siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh.Pada 24 November lalu, tiga lelaki berumur 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas salah seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal kira-kira jam 4.30 pagi, sehingga menyebabkan mangsa cedera parah pada lengan kirinya.Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua suspek daripada Geng Durian Tunggal itu dipercayai dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis dan aktif melakukan jenayah sejak 2024, membabitkan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian keseluruhan RM1.35 juta.Bagaimanapun, pada 3 Disember lalu, ahli keluarga ketiga-tiga suspek menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang pasukan keselamatan.Susulan itu, pada 4 Disember, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan bahawa satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga berkenaan yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.Terbaharu, dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kes itu akan disiasat secara rapi dan telus tanpa sebarang tolak ansur oleh PDRM.Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dalam kenyataan menegaskan komitmen PDRM untuk memastikan setiap proses siasatan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berlandaskan undang-undang demi menjamin keadilan kepada semua pihak.Beliau turut menegaskan bahawa PDRM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku.