Rombakan Kabinet undang keresahan, rakyat persoal hala tuju sebenar – Hamzah

SHAH ALAM – Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri semalam mengundang pelbagai maklum balas serta keresahan rakyat, termasuk persoalan terhadap hala tuju sebenar perubahan pentadbiran tersebut.Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dalam tempoh 24 jam selepas pengumuman itu dibuat, pelbagai pihak membangkitkan rasa curiga sama ada rombakan tersebut didorong tekanan politik atau sekadar habuan kuasa, sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat.Menurut Hamzah, persoalan tersebut adalah berasas, khususnya apabila kementerian yang mempunyai pengaruh besar terhadap kerajaan tempatan dan wilayah kini dikuasai oleh satu parti yang sebelum ini lantang memperjuangkan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.Pada masa sama, ujarnya, perubahan membabitkan kementerian strategik seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang menjadi tunjang kepada pengukuhan ekonomi khususnya dalam membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang majoritinya Bumiputera perlu diperjelaskan secara telus.Hamzah turut menyuarakan kebimbangan apabila menteri yang prestasi serta tindak-tanduknya dipersoalkan secara terbuka oleh rakyat terus dikekalkan dalam Kabinet, selain pelantikan individu baharu yang latar belakangnya turut dipertikaikan."Rombakan Kabinet bukan sekadar soal menukar wajah, tetapi mesti menzahirkan keupayaan kerajaan menjawab kegagalan sedia ada, bukannya semata-mata demi untung secupak hingga rugi segantang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Beliau menegaskan, sebarang keputusan pentadbiran yang dibuat akan memberi kesan langsung kepada rakyat dan negara, justeru ia perlu berlandaskan kepentingan awam serta tadbir urus yang berintegriti.