Anak sulung pengasas Sapura dibenar bantah pengesahan hibah bapa

PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu membenarkan anak sulung pengasas Sapura Holdings Sdn Bhd memfailkan bantahan awal terhadap permohonan bapanya, Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir untuk mengesahkan pemberian hibah mencecah 14.85 juta pegangan saham syarikat, hampir 30 tahun lalu.Hakim Syarie, Ahmad Irwan Ismail memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada Peguam Syarie, Dr Mohd Rafie Mohd Shafie yang mewakili anak pertama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sapura Group, Tan Sri Shahril Shamsuddin, 64, selaku defendan pertama.Ia termasuk hujahan daripada Peguam Syarie, Fakhrul Azman Abu Hasan bagi anak kedua, Pengarah Eksekutif dan Pemegang Saham Sapura Holdings, Datuk Shahriman, 56 dan Shamsuddin Abdul selaku plaintif yang diwakili Peguam Syarie, Datuk Shamsuriah Sulaiman.Semasa prosiding, Mohd Rafie berkata, dakwaan dan tuntutan plaintif untuk mengesahkan hibah itu adalah fasik sedangkan istilah itu amat berat dan serius maka tiada kuasa tindakan bagi membuktikan dakwaan berkenaan.Katanya, permohonan plaintif wajar ditolak dengan mengambil kira, isu itu hanya dibangkitkan pada waktu ini sekali gus menunjukkan berlaku kelewatan luar biasa mencecah puluhan tahun."Saya mohon mahkamah membenarkan permohonan kami untuk mendapatkan kebenaran bagi memfailkan bantahan atas permohonan itu."Anak guam berhak untuk membuat permohonan mengikut undang-undang maka jika prosiding diteruskan perbicaraan permohonan menarik balik hibah termasuk memanggil saksi-saksi, ia hanya akan membuang masa mahkamah," katanya.Bagaimanapun, Fakhrul Azman berkata, anak guam membantah permohonan defendan pertama dengan alasan, isu yang dibangkitkan sama ada hibah itu tidak wujud, berlaku pada 1997 atau tiada kuasa tindakan merupakan perkara merit yang perlu diputuskan dalam perbicaraan."Kita juga perlu mengambil kira, usia plaintif yang agak lanjut, jika berlaku sebarang penangguhan, ia akan memberi kesan kepada permohonan ini."Saya percaya isu yang dibangkitkan berkait dengan merit sama ada wujud atau tidak sumbangan tersebut, mahupun ia sah atau terbatal."Justeru lebih baik kita teruskan dengan perbicaraan dengan memanggil saksi-saksi untuk membuktikan kes, tanpa prosiding bantahan awal," katanya yang menambah, anak guamnya tidak membantah kewujudan hibah berkenaan.Sementara itu, Shamsuriah berkata, tidak timbul isu fasik memandangkan pihaknya mempunyai bukti dalam bentuk dokumentasi berhubung pemberian sumbangan terbabit."Kami juga menghujahkan tidak timbul isu kelewatan luar biasa kerana hibah tidak mempunyai had masa apatah lagi pemberian itu merupakan pemberian bapa kepada anak."Mengikut undang-undang syariah, seorang bapa boleh menarik balik hibah itu pada bila-bila masa sahaja," katanya yang hadir bersama Peguam Syarie, Suhaimi Saad.Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Ahmad Irwan menetapkan 24 Februari depan untuk sebutan semula kes.