KOTA KINABALU – Ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir tampil mempertahankan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli susulan dakwaan salah guna dana daripada Tabung Justice for Zara.Noraidah Lamat, 45, menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya pada petang Rabu, menjelaskan bahawa tabung berkenaan hanya dibuka dalam tempoh singkat dan telah pun ditutup."Kepada yang suka memfitnah beliau, boleh baca hingga hadam. Tabung tersebut hanya dibuka dua hari dan sudah ditutup," tulisnya dalam hantaran itu.Noraidah turut menegaskan bahawa sebarang penggunaan dana dibuat secara telus dan direkodkan dengan jelas, selain memaklumkan bahawa beliau serta pihak terlibat bertindak mengikut nasihat yang diterima."Segala penggunaan dana ada direkod dengan jelas dan kami dinasihatkan hanya akan melakukan audit apabila selesai prosiding inkues dan kes #JusticeForZara," katanya sambil berkongsi pautan berita dari Sinar Harian.Marhamah, yang juga merupakan aktivis yang memulakan gerakan Justice for Zara, diumumkan sebagai salah seorang anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Bagaimanapun, pelantikan beliau mencetuskan pelbagai persoalan dan kontroversi apabila dikaitkan dengan pelbagai isu, termasuk dakwaan ketidaktelusan dalam kutipan dana tabung tersebut serta dakwaan penipuan melibatkan urus niaga emas yang tular di media sosial.Terdahulu, Marhamah merupakan antara individu terawal yang tampil memberi sokongan kepada Noraidah selepas anaknya, Zara Qairina, yang bersekolah di sebuah sekolah menengah agama di Papar, disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu.Allahyarhamah Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu, sebelum itu ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolah berkenaan.