PETALING JAYA – Pasangan suami isteri berdepan detik cemas apabila kereta milik mereka dilarikan bersama anak perempuan berusia lima tahun dalam kejadian di Jalan PJS 6/4, Kampung Lindungan, di sini pada Selasa.Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima makluman mengenai kejadian itu kira-kira jam 7.24 pagi."Ketika kejadian, pasangan berkenaan meletakkan kenderaan di tepi jalan dan meninggalkan anak mereka di dalam kereta untuk membeli sarapan pagi."Bagaimanapun, pengadu menyedari kenderaan miliknya telah dilarikan oleh suspek sebelum segera menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Katanya, bertindak atas maklumat diterima, pihak polis segera melancarkan Op Tutup bagi mengesan kenderaan terbabit."Hasil operasi dan bantuan orang awam, kenderaan berkenaan berjaya ditemui bersama kanak-kanak itu di kawasan Apartment Mentari Court, Petaling Jaya, selepas kira-kira tiga jam operasi dijalankan."Kanak-kanak berkenaan ditemukan dalam keadaan selamat sebelum diserahkan semula kepada ibu bapanya," katanya.Menurutnya, tindakan mengesan suspek terlibat sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan."Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan serta tidak menjejaskan siasatan pihak berkuasa."Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Azman Ayob di talian 012-223 7272," katanya.