ALOR GAJAH - Kejadian tragis melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut selepas dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika melintas jalan di Jalan Paya Mengkuang, Masjid Tanah di sini pada Selasa berlaku begitu pantas dan tidak dijangka.Kakak sulung mangsa, Zaidatul Amira Jasri, 18 berkata, kejadian berlaku ketika arwah, Muhammad Iman Nazzhan Jasri bermain bersama kakaknya dan beberapa kanak-kanak lain di halaman rumah.Pelajar Tingkatan Enam di SMK Al-Alaudin itu berkata, ketika itu dia baru bangun tidur sebelum terdengar ahli keluarga lain termasuk ibunya, Siti Zainab Zakaria, 38, menjerit memanggil nama arwah."Saya terus bangun dan berlari keluar rumah. Apabila sampai di tempat kejadian, saya lihat kepala arwah berada di bawah kenderaan itu."Ibu panggil nama adik tetapi dia tidak beri sebarang respons. Adik kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah tapi disahkan telah meninggal dunia," katanya.Tambahnya, sebelum kejadian arwah ada meminta wang untuk membeli ais krim dan ibunya sempat membelinya daripada penjaja di hadapan rumah."Saya sangat rapat dengan arwah. Dia panggil saya along. Kami pernah berjanji untuk membawanya makan Marrybrown, namun tidak kesampaian."Beberapa hari sebelum kejadian, arwah kelihatan lebih ceria dan tidak banyak meragam. Biasanya dia menangis bila mahu pergi ke sekolah tetapi beberapa hari ini dia sangat teruja," katanya.Sementara itu, bapa arwah, Jasri Sainal, 39, berkata, sebelum kejadian, Muhammad Iman dipercayai cuba mengikut kakaknya yang berusia 11 tahun melintas jalan sebelum dilanggar kenderaan terbabit."Kejadian berlaku begitu pantas dan kami terkejut kerana dia tidak pernah bermain di jalan raya sebelum ini."Baru seketika dia berada di hadapan rumah dalam pengawasan ibunya. Tiba-tiba kami terdengar bunyi dentuman kuat dan tidak menyangka anak saya yang terlibat dalam kemalangan itu," katanya.Dalam kejadian Selasa, sekitar jam 5 petang, mangsa dipercayai sedang melintas dari kawasan perumahan ke seberang jalan sebelum dilanggar sebuah Toyota Avanza dipandu oleh seorang lelaki berusia 64 tahun yang bekerja sebagai penyelia.Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah untuk mendapatkan rawatan.Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.