PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan rombakan Kabinet yang dilakukan bertujuan membuka ruang kepada kepimpinan baharu dalam kalangan golongan muda sebagai langkah memperkukuh kerajaan dan parti bagi jangka panjang.Beliau berkata, senario semasa memperlihatkan kemunculan barisan pemimpin muda yang berpengalaman serta berupaya menggalas peranan sebagai generasi kedua dan ketiga dalam kepimpinan negara."Melihat senario keseluruhan, kemunculan barisan kepimpinan baharu yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda."Ia adalah generasi muda yang berpengalaman dan boleh dianggap sebagai generasi kedua dan ketiga kepimpinan parti," katanya ketika taklimat media bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di sini pada Rabu.Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, rombakan Kabinet bukan bertujuan menggantikan rakan-rakan terdekat daripada generasinya, sebaliknya memberi peluang kepada pasukan yang lebih muda dan berkeupayaan."Mereka mungkin tidak begitu dekat dengan saya secara peribadi, tetapi mereka adalah satu pasukan yang muda, berkeupayaan dan wajar diberi peluang."Proses pembaharuan ini mesti diteruskan. Inilah masanya untuk perubahan berlaku secara berperingkat dan berterusan," katanya.Sementara itu mengulas mengenai pertukaran portfolio Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Anwar menjelaskan, langkah itu bertujuan memastikan perkhidmatan awam berfungsi untuk semua kaum.Malah beliau menegaskan, tindakan menolak seseorang kerana warna kulit atau latar rakyat adalah sesuatu yang menjengkelkan dan tidak wajar pada masa kini."Apabila seorang Menteri Wilayah Persekutuan dilantik, timbul dakwaan bahawa pelantikan menteri bukan Melayu akan menyebabkan orang Melayu terpinggir."Hakikatnya, penjawat awam, termasuk pengarah jabatan dan pegawai kerajaan, berfungsi sebagai satu pasukan untuk berkhidmat kepada semua kaum," ujarnya.