Dividen Petronas tertakluk kepada realiti pasaran minyak global - PM

PUTRAJAYA - Malaysia perlu menerima realiti bahawa negara tidak lagi boleh terlalu bergantung kepada dividen daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memandangkan syarikat minyak nasional itu beroperasi sebagai entiti komersial yang prestasinya berkait rapat dengan harga minyak global.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembayaran dividen Petronas kepada kerajaan ditentukan oleh keadaan pasaran dan prestasi industri minyak dan gas, yang masih berdepan dengan situasi turun naik di tengah-tengah landskap global yang tidak menentu."Petronas adalah entiti komersial. Dividen bergantung kepada prestasi dan harga petroleum. Kita perlu menerima realiti itu."Untuk terus maju ke hadapan negara tidak boleh terlalu bergantung kepada pemberian (dividen) oleh Petronas," kata beliau semasa Taklimat Bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa (Imbasan 2025), di sini, pada Rabu.Perdana Menteri berkata demikian sebagai menjawab soalan sama ada kerajaan bimbang tentang penurunan pembayaran dividen oleh Petronas dan sama ada trend tersebut dijangka berterusan.Anwar berkata, walaupun kerajaan sudah tentunya mahukan dividen yang lebih tinggi untuk menyokong pembangunan negara, harapan itu perlu diseimbangkan dengan keadaan global semasa dalam sektor minyak dan gas."Walaupun kita mahukan lebih banyak dividen, kita juga perlu melihat apa yang berlaku di peringkat global dan dalam industri minyak dan gas," kata beliau sambil menambah Malaysia perlu memberi tumpuan untuk mewujudkan entiti perniagaan baharu dan pemacu ekonomi yang boleh menjana pendapatan yang mampan untuk kerajaan pada masa hadapan.Petronas, satu-satunya syarikat Fortune 500 negara, merupakan penyumbang terbesar kepada perbendaharaan kerajaan dan tahun depan dilaporkan bahawa kerajaan menjangkakan dividen RM20 bilion daripada Petronas selepas komited untuk membayar RM32 bilion pada tahun ini.Data tersebut dikongsi melalui Laporan Tinjauan Fiskal oleh Kementerian Kewangan.Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, harga minyak menyusut kira-kira 14 peratus dengan purata AS$70 (RM295.75) setong setakat tahun ini.Tahun depan, kerajaan mengunjurkan harga minyak berada dalam lingkungan AS$60 hingga AS$65 setong, sekali gus menjejaskan hasil berkaitan petroleum.Antara yang hadir pada taklimat media hari ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang, Arul Rajoo Durar Raj.Seramai 92 petugas media tempatan dan antarabangsa menghadiri taklimat tersebut. - Bernama