PRK Kinabatangan, Lamag: UMNO Sabah kenal pasti empat calon sesuai

KOTA KINABALU - UMNO Sabah telah mengenal pasti sekitar tiga hingga empat calon untuk dikemukakan kepada Presiden parti untuk bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadual berlangsung pada 24 Januari depan.Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pengumuman calon dijangka dibuat kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon."Mungkin kita akan ada tiga atau empat calon, tetapi tunggu masa yang sesuai untuk diumum tetapi kesemua calon yang dikenal pasti adalah lelaki."Saya sendiri, selaku yang menjalankan tugas Ketua Bahagian UMNO Kinabatangan, telah mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Bahagian, Ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Lamag serta Ketua-ketua Cawangan bagi mendengar pandangan dan suara pimpinan di peringkat akar umbi."Insya-ALLAH, perkara ini akan dibawa untuk diputuskan pada masa yang sesuai," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan UMNO Sabah, di sini, pada Rabu malam.Mengulas sama ada calon yang diketengahkan adalah individu sama bagi kedua-dua kerusi, beliau berpandangan calon yang dikemukakan adalah berbeza bagi setiap kerusi."Pada pendapat saya, orang lainlah sebab jangan sampai satu orang memegang dua kerusi sekali gus dan mereka adalah muka baharu."Kriteria pertama seorang calon boleh menang, mempunyai kemungkinan besar untuk menang dan seperti yang semua tahu, Kinabatangan adalah kawasan kubu kuat Barisan Nasional (BN), Lamag pun sebenarnya kita menang, cuma majoriti ada kurang sikit. Insya-ALLAH saya amat yakin kali ini kita akan buktikan Lamag kita akan pertingkatkan majoritinya," katanya.Sementara itu, ditanya sama ada senarai calon termasuk Naim Kurniawan, iaitu anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga bekas penyandang di kedua-dua kerusi berkenaan, beliau memaklumkan perkara itu masih belum diputuskan."Saya tidak dapat berikan komen, belum dapat diputuskan. Tunggu dan lihat," katanya.Mengulas pandangan berhubung kriteria calon DUN Lamag yang dicadangkan Naim Kurniawan sebelum ini, beliau menyifatkan perkara itu sebagai pandangan peribadi."Itu dia punya pandangan peribadi, tetapi sebagai pimpinan, kita juga mempunyai pandangan yang berbeza, terserah," katanya.PRK bagi di kedua-dua kerusi ditetapkan berlangsung serentak selepas penyandangnya, Bung Moktar meninggal dunia pada 5 Disember lalu akibat komplikasi buah pinggang dan partu-paru.