Cahaya Prihatin perkasa literasi tenaga, keselamatan elektrik

PADANG BESAR – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama strategik Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memperkasakan kesejahteraan komuniti menerusi penganjuran Program Cahaya Prihatin: Elektrik untuk Komuniti di Kampung Utara Malaysia, di sini, Sabtu lalu.Program ini memberi tumpuan kepada peningkatan literasi tenaga dan keselamatan elektrik dalam kalangan masyarakat setempat khususnya golongan asnaf selain menyediakan perkhidmatan pemeriksaan serta pembaikan pendawaian elektrik.Inisiatif ini dilaksanakan susulan pemilihan UniMAP sebagai antara lapan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dipertanggungjawabkan melaksanakan Malaysia Energy Literacy Program (MELP).UniMAP menjadi universiti pertama di Malaysia yang melaksanakan program tersebut melalui pendekatan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM).Majlis perasmian penutup disempurnakan Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.Sejak pelaksanaan SULAM pada 2019, seramai 2,214 penuntut UniMAP terlibat secara aktif dalam pelbagai program komuniti, selaras aspirasi universiti melahirkan graduan berjiwa sukarelawan.