LENGGONG - Komitmen berterusan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam memperkasa pembangunan luar bandar diterjemahkan menerusi kejayaan pelaksanaan Program Kampung Angkat Madani (KAM) dan Sekolah Angkat Madani (SAM) di Kampung Bukit Sapi, Lenggong.Pelaksanaan program secara berfasa bermula Januari itu memberi impak menyeluruh kepada komuniti setempat dari aspek infrastruktur, pendidikan dan kesejahteraan sosial melibatkan peruntukan keseluruhan RM1.1 juta.Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar berkata, Kampung Bukit Sapi dipilih sebagai kampung angkat KKDW dengan peruntukan RM1 juta, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Sapi sebagai sekolah angkat dengan peruntukan RM100,000.Menurutnya, ia melibatkan 13 projek pembangunan merangkumi 10 projek fizikal dan tiga projek bukan fizikal termasuklah gotong-royong keceriaan kampung, pelaksanaan Program Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile dan program motivasi pelajar."Tumpuan utama pelaksanaan adalah penambahbaikan infrastruktur asas yang menjadi keperluan harian penduduk, antaranya naik taraf dewan orang ramai, masjid, surau, klinik desa, jalan ladang dan titi sungai."Bagi pembangunan sekolah pula, projek yang dilaksanakan merangkumi naik taraf padang, pembinaan astaka serta meroboh dan membina wakaf baru bagi kegunaan tempat solat," katanya sempena Majlis Kenduri Rakyat Desa Madani 2025 di Kampung Bukit Sapi pada Isnin.Beliau berkata, pelaksanaan program Kampung Angkat Madani turut mengintegrasikan elemen kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi pelaksanaan Program Rintis Lampu Solar dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).Katanya, projek melibatkan penglibatan pelajar dan sukarelawan secara gotong-royong bersama komuniti setempat itu berjaya memasang 30 unit lampu solar di kawasan persekitaran kediaman penduduk dengan kos RM40,000.Selain infrastruktur, aspek keselamatan dan kebajikan isi rumah turut diberi perhatian melalui pelaksanaan Program Selenggara Elektrik Rumah Impian (SERI) yang menyasarkan kediaman golongan B40 di kampung berkenaan.Menurut Muhd Khair Razman, sebanyak 25 rumah telah menjalani kerja-kerja pemeriksaan dan pendawaian semula elektrik dengan kos keseluruhan RM40,000 bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kebakaran akibat pendawaian tidak selamat.Beliau berkata, pelaksanaan program secara holistik ini mencerminkan pendekatan KKDW yang menekankan pembangunan inklusif, kolaborasi strategik dan kesejahteraan komuniti, sejajar aspirasi kerajaan untuk memastikan kawasan luar bandar tidak ketinggalan dari segi kemudahan asas, peluang pendidikan dan pembangunan sosioekonomi."KKDW akan terus komited memperluas pelaksanaan Program Kampung Angkat Madani sebagai platform pembangunan berimpak tinggi, dengan penglibatan aktif pelbagai agensi, institusi pendidikan dan rakan strategik bagi menjamin manfaat jangka panjang kepada rakyat luar bandar," katanya.Majlis Kenduri Rakyat Desa Madani yang turut dihadiri Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti komuniti hasil penglibatan Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile dan GiatMara antaranya kaunter pembukaan akaun Tabung Haji, latihan kemahiran dan kraftangan, perkhidmatan gunting rambut serta penukaran minyak enjin motosikal secara percuma.Projek KKDW ubah wajah Kampung Bukit Sapi, penduduk lega nikmati kemudahanSementara itu, penduduk Kampung Bukit Sapi menyifatkan pelaksanaan projek pembangunan oleh KKDW sebagai pemangkin perubahan besar terhadap kehidupan seharian komuniti setempat yang sebelum ini berdepan kekangan kemudahan asas.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bukit Sapi, Afandi Hassan berkata, pelbagai projek pembangunan termasuk pembinaan jambatan, bekalan elektrik dan naik taraf kemudahan awam telah mengubah wajah kampung secara berperingkat."Kami bersyukur dengan peruntukan yang disalurkan kerana ia memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat."Sebelum ini kampung kami dianggap terpencil dan ketinggalan, tetapi apabila KKDW masuk, kami benar-benar rasa perubahan itu," katanya.Menurut Afandi, antara perubahan paling ketara ialah penambahbaikan jalan pertanian dan laluan kampung yang kini lebih selesa digunakan penduduk untuk urusan harian serta aktiviti ekonomi.Katanya, pemasangan lampu solar di sekitar kampung turut membawa kelegaan kepada penduduk yang sebelum ini berdepan masalah kegelapan pada waktu malam."Sekarang kampung lebih terang dan selamat, sekali gus dapat mengurangkan risiko kemalangan serta kejadian tidak diingini," katanya.Dalam masa sama, surau lama yang dianggarkan berusia hampir 200 tahun turut dinaik taraf dan kini kembali aktif dengan pelbagai program kemasyarakatan."Kini surau bukan sekadar tempat ibadah, tetapi menjadi pusat aktiviti komuniti termasuk untuk warga emas," katanya.Kampung Bukit Sapi kini mempunyai sekitar 120 keluarga dengan lebih 1,000 penduduk termasuk komuniti Orang Asli.Sementara itu, penduduk, Siti Aida Mohd Noh, 39, meluahkan rasa lega dan syukur selepas rumah pusaka keluarganya yang berusia lebih 50 tahun menjalani kerja-kerja penyelenggaraan pendawaian elektrik di bawah program Selenggara Elektrik Rumah Impian (SERI).Menurut Siti Aida, program SERI yang dilaksanakan selama tiga hari itu memberi kelegaan besar kepada keluarganya, khususnya ibu bapa yang masing-masing berusia 69 dan 65 tahun untuk tinggal dengan lebih selesa dan selamat."Sebelum ini kami risau keadaan pendawaian lama, tetapi selepas dibaiki, kami rasa lebih tenang. Alhamdulillah, ibu dan ayah kini dapat duduk dengan lebih selesa tanpa bimbang soal keselamatan elektrik," katanya.InfoJumlah keseluruhan peruntukan: RM1.1 jutaTempoh pelaksanaan: Januari - November 2025Projek pembangunan• Naik taraf Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Sapi• Naik taraf masjid dan surau Kampung Bukit Sapi• Naik taraf klinik desa• Pembaikan dan naik taraf jalan ladang• Pembaikan titi sungai• Naik taraf infrastruktur Sekolah Kebangsaan Bukit Sapi•Naik taraf sekolah agamaInisiatif tambahan/sokongan komuniti•Pemeriksaan dan pendawaian semula elektrik 25 rumah golongan B40•Pemasangan 30 unit lampu solar