1MDB: SPRM tingkat siasatan terhadap firma guaman antarabangsa

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertingkatkan siasatan terhadap sebuah firma guaman antarabangsa berhubung dakwaan penglibatan firma berkenaan dalam transaksi kewangan yang disyaki berkaitan dengan hasil daripada aktiviti haram melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).Menurut sumber, firma guaman ini dipercayai terlibat dalam penyelewengan sejumlah AS$1 bilion melibatkan dana 1MDB termasuk pengalihan kira-kira AS$700 juta kepada sebuah entiti luar pesisir yang berada di luar kawalan 1MDB."SPRM kini dalam usaha mendapatkan maklumat tambahan berhubung dana 1MDB, termasuk beberapa kes semasa yang masih dalam siasatan SPRM."Sehubungan itu, SPRM juga sedang menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat tambahan terhadap bekas Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1MDB, Tang Keng Chee (Casey Tang), yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dana yang disyaki telah diselewengkan berhubung kes 1MDB," katanya pada Khamis.Tambah sumber, siasatan ini dimulakan berdasarkan maklumat serta risikan yang diterima hasil perjumpaan dan perbincangan dengan beberapa buah negara yang melibatkan aspek transaksi kewangan rentas sempadan serta peranan pihak-pihak profesional dalam urusan berkaitan 1MDB.Jelasnya, dipercayai SPRM kini berusaha mendapatkan maklumat tambahan berhubung beberapa individu lain yang berada dalam radar siasatan bagi tujuan proses pemulihan aset kepada negara.Pada 13 Disember lalu, SPRM dalam kenyataan memaklumkan bahawa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ) akan mengembalikan 12 lukisan bernilai tinggi kepada Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan aset berkaitan skandal 1MDB.SPRM dalam satu kenyataan dilaporkan memaklumkan, persetujuan itu dicapai hasil dua siri perbincangan dua hala antara SPRM, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan USDOJ yang berlangsung di Washington DC dan New York pada 9 dan 11 Disember lalu.Perbincangan berkenaan diketuai oleh Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin dan turut disertai Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil serta Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara (AGC), Norinna Bahadun.Antara perkara utama yang dibincangkan ialah usaha pemulihan aset 1MDB, khususnya melibatkan pengembalian lukisan-lukisan bernilai tinggi yang dibeli oleh Jasmine Loo dan kini berada di bawah kawalan USDOJ.Sebanyak 12 lukisan dengan nilai dianggarkan melebihi AS$30 juta telah dikenal pasti dan ketika ini dipegang oleh rumah lelongan Christie’s serta Sotheby’s Auction House di Amerika Syarikat.Antara karya seni yang terlibat ialah Pablo Picasso (1961), L’Ecuyère et les clowns; Joan Miró (1953), Composition; William H. Bailey, Still Life; Alexander Calder, Studies for Sculpture; serta Henri Matisse, Femme Assise.