PUTRAJAYA – Sebanyak 198,992 kematian direkodkan pada 2024, menurut Laporan Perangkaan Sebab Kematian Malaysia 2025 yang julung kali dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).Berdasarkan laporan itu, 133,844 kematian atau 67.3 peratus adalah sebab kematian yang disahkan secara perubatan, manakala 65,148 kes (32.7 peratus) tidak disahkan secara perubatan.Malah, bilangan kematian yang disahkan secara perubatan meningkat daripada 60.7 peratus (119,652 kematian) kepada 67.3 peratus (133,844 kematian).Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penyakit jantung iskemik terus menjadi sebab kematian utama di negara ini pada 2024, iaitu 17,421 kes atau 13 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan."Sebanyak 12,112 kematian lelaki (15.3 peratus) disebabkan oleh penyakit jantung iskemik, manakala sebab kematian utama bagi perempuan adalah pneumonia, iaitu 6,776 kes (12.4 peratus)."Penyakit jantung iskemik juga merupakan sebab kematian utama bagi etnik Melayu dan India, masing-masing merekodkan 10,291 kes (13.9 peratus) dan 2,161 kes (17.6 peratus)."Sementara itu, etnik Cina dan bumiputera lain pula masing-masing merekodkan pneumonia sebagai sebab kematian utama, iaitu 4,231 kes (12.7 peratus) dan **1,016 kes (9.7 peratus)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Laporan tersebut membentangkan statistik punca kematian di Malaysia bagi tahun kajian 2024 mengikut ciri demografi di peringkat nasional, negeri dan daerah pentadbiran.Statistik ini menjadi input utama untuk penggubalan dasar kesihatan, perancangan program, rujukan penyelidikan, serta penilaian keberkesanan sistem kesihatan, pengagihan sumber yang lebih bersasar dan usaha menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.Mengulas lanjut, Mohd Uzir memaklumkan bahawa kematian akibat penyakit jantung iskemik dipengaruhi oleh amalan gaya hidup dan pemakanan tidak sihat. Dapatan itu turut disokong oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang menyatakan penyakit tersebut berlaku apabila saluran darah menjadi keras serta sempit disebabkan oleh plak kolesterol.Jelas beliau, faktor risiko penyakit itu termasuk merokok, paras kolesterol dan tekanan darah tinggi, diabetes serta faktor usia."Selain itu, terdapat juga faktor lain yang mempengaruhi seperti obesiti, antaranya kurang menjalankan aktiviti fizikal dan sejarah keluarga."Kematian akibat pneumonia pula disumbangkan oleh kesan pasca pandemik, di mana jangkitan paru-paru dalam komuniti terutama bagi individu yang mempunyai sistem imun lemah dan masalah kesihatan sedia ada."Selain penyakit jantung iskemik dan pneumonia, beberapa penyakit tidak berjangkit lain seperti diabetes mellitus serta kegagalan buah pinggang turut berpunca daripada amalan gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat," ujarnya.Ketua perangkawan itu menambah, sebab kematian utama bagi penduduk berumur 60 tahun ke atas dan 0 hingga 14 tahun adalah pneumonia, masing-masing merekodkan 11,989 kes (13.9 peratus) serta 244 kes (5.6 peratus).Selain itu, katanya, kemalangan merupakan sebab kematian utama bagi golongan 15 hingga 40 tahun, iaitu 2,547 kes (20 peratus), manakala bagi kumpulan 41 hingga 59 tahun, penyakit jantung iskemik mencatatkan 5,380 kematian (17.6 peratus).Dalam konteks kenegerian, beliau turut menjelaskan bahawa penyakit jantung iskemik adalah punca kematian utama di 13 negeri, manakala pneumonia menjadi punca utama di Perak, Sabah dan Sarawak."Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi bagi penyakit jantung iskemik, iaitu 3,038 kes, diikuti Johor (2,620) dan **Kedah (2,349)," kata Mohd Uzir.DOSM juga menerbitkan 10 sebab kematian utama pada 2024 iaitu penyakit jantung iskemik (13 peratus); pneumonia (11.5 peratus); diabetes mellitus (5.2 peratus); kemalangan (3.3 peratus) dan kegagalan buah pinggang (2.9 peratus).Selain itu, strok (tidak dapat dipastikan akibat iskemik atau pendarahan) sebanyak 2.6 peratus; pendarahan dalam kepala (2.4 peratus); kanser paru-paru (2.1 peratus); kanser usus, dubur dan saluran dubur (1.9 peratus) serta barah payudara (1.6 peratus).