KUANTAN – Hasrat seorang warden penjara untuk memeriksa keadaan rumah yang dilanda banjir berakhir tragedi apabila dia ditemui maut dalam keadaan tertiarap di ruang tamu kediamannya di Taman Seri Inderapura di sini pada Khamis.Mangsa, Muhammad Hariri Kamarudin, 26, yang bertugas di Penjara Penor, sebelum ini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa, Taman Seri Inderapura.Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, mangsa dipercayai pulang ke rumahnya seorang diri sekitar jam 1 pagi untuk melihat keadaan rumah yang ditenggelami banjir dengan paras air kira-kira 2.54 meter.Bagaimanapun katanya, mangsa tidak pulang semula ke PPS dan gagal dihubungi."Pada jam 10 pagi, bapa mangsa pergi ke rumah dan mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap di dalam air di ruang tamu."Mangsa kemudian dibawa ke PPS oleh bapanya dengan bantuan orang awam sebelum pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Beliau berkata, pemeriksaan mendapati mangsa berada di bahagian belakang tempat duduk sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan lanjut."Mayat mangsa akan dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian," katanya.