KUALA LUMPUR - Penutupan akses laman web tidak melibatkan organisasi media, sebaliknya tertumpu kepada kandungan yang jelas melanggar undang-undang seperti perjudian dan pornografi, selaras dengan dasar kerajaan yang menjunjung kebebasan media, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.Beliau berkata, langkah sekatan akses merupakan tindakan terakhir dan dilaksanakan secara teliti di bawah peruntukan undang-undang sedia ada, tanpa menyasarkan portal berita atau organisasi media dalam talian."Jarang sekali berlaku kecuali untuk beberapa laman web tertentu, maka boleh ditutup akses kepada laman web itu. Waktu ini hampir semua laman web yang diarah tutup aksesnya berkait dengan judi, pornografi dan perkara-perkara yang melanggar undang-undang di dalam negara dan bukannya melibatkan aspek media," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Ahmad Ibrahim berhubung pendirian kerajaan dalam memastikan kebebasan media, khususnya melibatkan portal media luar negara agar tidak disalahgunakan untuk menyebarkan laporan tidak berfakta atau mengelirukan serta mekanisme respons pantas sekiranya berlaku.Fahmi berkata, kerajaan tidak mengenakan pelesenan atau kawal selia terhadap media dalam talian sama ada di dalam atau luar negara, selaras dengan prinsip memastikan ruang kebebasan bersuara dan kebebasan media terus terpelihara dalam ekosistem digital.Bagaimanapun, Fahmi berkata, tindakan boleh diambil sekiranya kandungan yang disiarkan didapati menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan telekomunikasi di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM).Menurut beliau, peruntukan itu termasuk kuasa penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), namun penggunaannya tertakluk kepada aduan dan penilaian berasaskan undang-undang, bukan atas perbezaan pandangan atau kritikan terhadap dasar kerajaan.Malah, katanya, AKMM turut mengandungi peruntukan klausa extrateritoriality yang membolehkan tindakan diambil terhadap pihak di luar negara sekiranya kandungan berkenaan memberikan kesan kepada Malaysia.Menjawab soalan asal Senator Amir Md Ghazali berhubung usaha memastikan kebebasan media bergerak seiring dengan etika kewartawanan, Fahmi berkata, kedua-dua aspek itu diperkukuh melalui dasar dan undang-undang yang jelas, kerjasama dengan Majlis Media Malaysia (MMM) serta penyediaan garis panduan dan latihan profesional kepada pengamal media.Tambahnya, MMM berperanan membangunkan standard kewartawanan yang beretika dan bertanggungjawab, termasuk merangka tata kelakuan bagi pengamal media arus perdana dan media bebas, bagi meningkatkan profesionalisme serta memartabatkan kebebasan media negara.Menurut Fahmi, keperluan itu diperkukuh melalui pemberdayaan Kod Etika Wartawan Malaysia 2024 yang memberikan penekanan terhadap cabaran pelaporan digital, termasuk penularan berita palsu serta manipulasi kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI), selaras dengan prinsip verifikasi sumber, keadilan laporan dan pemisahan jelas antara fakta dengan pandangan peribadi.Mengenai isu kedudukan kebebasan media negara dan kritikan dilontarkan pihak antarabangsa, beliau berkata indeks kebebasan media bersifat "relatif", namun prinsip kebebasan media akan terus dipegang dan dimartabatkan kerajaan. - Bernama