SHAH ALAM – Isu pendidikan tidak seharusnya dijadikan sebagai ‘candu’ politik atau modal untuk meraih sokongan rakyat, termasuk pengundi Cina.Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, tindakan membangkitkan semula isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) pada waktu tertentu dilihat jelas lebih bersifat bermotifkan politik berbanding usaha menyelesaikan dasar pendidikan secara menyeluruh dan seimbang."Apabila DAP sengaja membangkitkan isu ini ketika mereka berada di takuk sokongan paling rendah, iaitu selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, secara tidak langsung mereka telah mengesahkan bahawa DAP bukan parti yang mewakili pelbagai kaum."Jika kita sebuah parti yang bertanggungjawab, isu pendidikan tidak sepatutnya dijadikan sebagai ‘candu’ politik," katanya.Beliau berkata demikian sebagai panelis pada Wacana Sinar ke-484 bertajuk UEC: Apa Solusi di Sebalik Kontroversi? di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong.Mengulas sama ada isu tersebut boleh menggugat kedudukan DAP dalam Kerajaan Perpaduan, Noor Azleen berpandangan perkara itu belum sampai ke tahap berkenaan, namun nada yang digunakan dilihat seolah-olah berbentuk tekanan dan ugutan politik."Kenyataan bahawa reformasi mesti dilakukan dalam tempoh enam bulan dan ancaman untuk keluar kerajaan sekiranya tuntutan UEC tidak ditunaikan adalah tidak bertanggungjawab."Ia memberi isyarat yang kurang baik kepada rakyat, sedangkan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan sepatutnya memelihara kestabilan dan semangat kebersamaan."Sebab itu, saya berpendapat ia lebih kepada mereka yang terdesak untuk kembali relevan dan sengaja memainkan isu pendidikan bagi mendapatkan sokongan pengundi Cina yang semakin terhakis," ujarnya.Noor Azleen turut menegaskan isu UEC perlu dilihat dari sudut pemerkasaan Bahasa Melayu dan kerangka pendidikan kebangsaan.Menurutnya, penyokong sistem UEC sering dilihat meletakkan sijil berkenaan seolah-olah lebih baik daripada sistem peperiksaan nasional sedia ada, sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap hala tuju pendidikan negara."Persoalan yang perlu dijawab ialah apakah sebenarnya kekurangan sistem pendidikan kebangsaan hari ini? Apakah yang tidak betul dengan peperiksaan dan kurikulum nasional yang telah diguna pakai sekian lama?"Sepatutnya soalan-soalan ini wajar dikembalikan semula kepada penyokong UEC," katanya.