Empat ditahan kes pecah pejabat sekolah agama

KLUANG - Empat individu termasuk seorang wanita tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes pecah pejabat sebuah sekolah agama di Taman Kluang Barat.Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima daripada seorang wanita tempatan berusia lingkungan 50-an kira-kira jam 7.30 malam, pada 29 November lalu."Bertindak atas maklumat dan risikan, tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 19 hingga 23 tahun ditahan dalam serbuan berasingan di dua lokasi sekitar bandar kira-kira jam 1.15 tengah hari, Rabu."Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas sebuah kereta Perodua Bezza berwarna coklat, satu unit alat kawalan jauh kereta Perodua, sehelai baju sweater hitam, sehelai kemeja-T hitam berjenama serta sehelai seluar jeans pendek berwarna biru," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Bahrin memberitahu, hasil semakan rekod jenayah mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah dan narkotik.Bagaimanapun, ujian saringan air kencing terhadap kesemua tangkapan didapati negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah."Setakat ini, polis percaya dengan penahanan suspek-suspek ini, enam kes melibatkan pecah rumah dan pecah sekolah di sekitar daerah Kluang dapat diselesaikan," katanya.Beliau berkata, tiga suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.