PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi amaran kepada orang awam tidak membeli atau menggunakan produk tidak berdaftar yang dipasarkan sebagai ubat tradisional HW Beauty Serbuk Campuran Kurma, Madu dan Limau Kasturi kerana dikesan mengandungi bahan berbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan.KKM dalam kenyataan hari ini, memaklumkan amaran itu susulan maklumat Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura berhubung kesan sampingan melibatkan produk tersebut yang didapati mengandungi racun berjadual iaitu steroid Dexamethasone dan Prednisolone serta ubat anti-radang Diclofenac."Steroid merupakan ubat terkawal yang hanya boleh digunakan dengan preskripsi doktor bagi tujuan rawatan tertentu namun kerap disalah guna termasuk untuk pembinaan otot badan."Penggunaan steroid tanpa pengawasan perubatan boleh menyebabkan pelbagai komplikasi serius seperti kerosakan buah pinggang serta ketidakseimbangan hormon selain meningkatkan risiko penyakit kencing manis dan darah tinggi," menurut kenyataan itu.KKM memaklumkan penjualan produk tidak berdaftar merupakan kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan pihak disabitkan boleh didenda sehingga RM25,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.Bagi kesalahan seterusnya, pesalah boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.KKM memaklumkan tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga, pengedar serta penyedia platform e-dagang menjual produk tidak berdaftar merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Johor dalam membanteras pengedaran ubat tidak sah di pasaran.Seiring usaha itu, KKM juga melaksanakan kempen "Tolak Ubat Tidak Sah" (TOBaTS) yang dilancarkan pada 2024 bagi meningkatkan kesedaran orang awam mengenai risiko penggunaan produk kesihatan menyalahi undang-undang."Peniaga, pengedar dan penyedia platform e-dagang diingatkan supaya bertanggungjawab memastikan hanya produk kesihatan yang berdaftar dengan nombor MAL serta mempunyai pelekat keselamatan hologram Farmatag yang sah dibenarkan untuk dijual," menurut kenyataan itu.Orang awam dinasihatkan menyemak status pendaftaran ubat atau produk kesihatan melalui laman sesawang Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (NPRA) sebelum membuat pembelian.KKM turut mengalu-alukan orang awam menyalurkan aduan penjualan produk meragukan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di http://moh.spab.gov.my, talian hotline KKM 03-7841 3200 atau cawangan penguatkuasaan farmasi terdekat. - Bernama