Kes 1MDB: Pembelaan dakwa Najib tidak diberi perbicaraan adil

KUALA LUMPUR - Menjelang seminggu keputusan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diketahui, pembelaan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi membangkitkan kebimbangan mengenai dakwaan ketidakadilan dalam perbicaraan dihadapi bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi di sini.Ketika sidang akhbar, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, 72, berkata, isu itu timbul selepas bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa membuat kejutan dengan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.Sedangkan katanya, Roger enggan menjawab beberapa soalan penting semasa perbicaraan yang dihadapi bekas Ahli Parlimen Pekan itu."Roger memberi alasan bahawa perintah perlindungan Amerika Syarikat yang menghalangnya daripada mendedahkan sebarang maklumat di mahkamah."Walhal maklumat ini relevan dan penting kepada pihak pembelaan sekali gus mewujudkan ketidakadilan yang jelas kepada Najib kerana keterangan itu dihalang daripada dianggap sebagai bukti dalam perbicaraan 1MDB," katanya.Beliau kemudiannya membaca kenyataan media yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 12 Disember lalu.Katanya, AGC memaklumkan bahawa Roger telah memberi maklumat penting kepada pihak berkuasa mengenai skandal 1MDB.Bukan setakat Roger, beliau berkata, pendekatan sama turut dilihat membabitkan individu lain seperti bekas penasihat undang-undang 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan.Walaupun bekas peguam 1MDB itu rapat dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, beliau berkata, Jasmine yang juga saksi pendakwaan ke-50 kes 1MDB, kekal di Malaysia dan diletakkan di bawah program perlindungan saksi."Ini jelas menunjukkan Najib tidak diberikan perbicaraan yang adil, seperti yang dijamin di bawah Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan," katanya.Pada 31 Oktober lalu, Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang bersidang di Istana Kehakiman di Putrajaya menetapkan keputusan kes 1MDB sama ada Najib akan dibebaskan atau disabitkan bersalah pada 26 Disember ini.Perbicaraan kes berprofil tinggi ini, telah mengambil masa selama 303 hari termasuk 10 hari penghujahan di akhir kes pembelaan bermula 21 Oktober lalu.Seramai 50 saksi dipanggil dalam perbicaraan di peringkat pendakwaan yang berlangsung selama 235 hari, berakhir pada 30 Mei 2024 lalu.Najib, 72, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.Bekas Presiden UMNO itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.Dia didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.Bagi pengubahan wang haram, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.