UMNO Sabah, Hajiji bincang hala tuju politik negeri

KOTA KINABALU – Perbincangan hala tuju politik Sabah menjadi antara perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuan antara kepimpinan baharu UMNO Sabah dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pertemuan itu turut menyentuh kepentingan mengekalkan kestabilan politik dan memastikan pentadbiran negeri terus berfungsi dengan berkesan demi kepentingan rakyat."Kepimpinan baharu UMNO Sabah hari ini mengadakan satu perjumpaan rasmi dan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, sebagai langkah memperkukuh hubungan kerja serta kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan Sabah."Dalam pertemuan tersebut, perbincangan tertumpu kepada hala tuju politik Sabah, kepentingan mengekalkan kestabilan politik serta keperluan memastikan pentadbiran negeri berfungsi dengan baik demi kepentingan rakyat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Beliau turut menegaskan bahawa UMNO Sabah melihat kestabilan politik sebagai asas utama kepada pembangunan negeri, meningkatkan keyakinan pelabur serta menjamin kesejahteraan rakyat."Oleh itu, pendekatan politik yang matang, berdisiplin dan berlandaskan kerjasama perlu menjadi keutamaan dalam landskap politik Sabah ketika ini."Dalam sistem politik berbilang parti seperti di Sabah, kestabilan hanya dapat dicapai melalui sikap saling menghormati, komunikasi terbuka, dan kesediaan untuk bekerjasama demi kepentingan negeri."UMNO Sabah komited untuk memainkan peranan yang bertanggungjawab dan konstruktif dalam Kerajaan Perpaduan," katanya.Tambahnya, kepimpinan UMNO Sabah turut menegaskan bahawa perbezaan pandangan politik perlu diurus secara berhemah dan melalui saluran institusi, tanpa menjejaskan keutamaan utama iaitu tadbir urus yang baik, pembangunan berterusan dan kebajikan rakyat Sabah."UMNO Sabah akan terus menyumbang secara aktif dan berprinsip dalam Kerajaan Perpaduan Negeri, sambil memastikan suara rakyat kekal menjadi asas kepada setiap keputusan dan hala tuju politik yang diambil," ujarnya.