Ahmad Zahid cadang naikkan bantuan wang ihsan, bawa ke Kabinet

KUANTAN - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membawa cadangan untuk menambah kadar bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir ke mesyuarat Jemaah Menteri.Beliau berkata, perkara itu akan dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan Persekutuan memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.Menurutnya, jumlah bantuan wang ihsan banjir yang disediakan kerajaan ketika ini adalah sebanyak RM1,000."Saya akan membawa cadangan ini ke mesyuarat Kabinet dalam mesyuarat akan datang, bersaksikan Menteri Pendidikan, namun perkara ini bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar di sini pada Khamis.Seramai 1,464 mangsa banjir ditempatkan di PPS berkenaan yang dibuka sejak Isnin.Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan melaksanakan inisiatif baharu dengan menyalurkan bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir ketika mereka masih berada di PPS.Menurutnya, pembayaran awal itu membolehkan ketua keluarga menggunakan bantuan bagi tujuan segera termasuk kerja pembersihan rumah, membaiki peralatan rosak serta membeli barangan keperluan asas."Sebelum ini, bantuan wang ihsan diagihkan selepas mangsa pulang dari PPS, namun kini bantuan diserahkan ketika mereka masih berada di PPS."Kita memahami terdapat mangsa yang memerlukan bantuan kewangan segera, justeru kerajaan merasakan langkah ini perlu dipercepatkan," jelasnya.Ahmad Zahid berkata, setakat ini 77 peratus bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir di seluruh negara telah berjaya disalurkan, manakala baki 23 peratus lagi akan diselesaikan secara berperingkat melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).Katanya, bagi mempercepatkan proses penyaluran, kerajaan menetapkan satu piawaian baharu dengan bantuan disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN)."Senarai penerima akan dikemukakan kepada cawangan BSN terlibat. Mangsa yang tidak mempunyai akaun bank juga boleh menuntut bantuan di kaunter BSN berhampiran kawasan terjejas," katanya.Ditanya mengenai kemungkinan mangsa banjir berulang menerima BWI, Ahmad Zahid berkata, setiap mangsa layak menerima bantuan wang ihsan sekiranya terlibat dengan bencana banjir selepas tempoh tiga bulan menerima bantuan kali pertama."Perkara ini diuruskan oleh Nadma dan mangsa boleh menerima bantuan wang ihsan sekiranya dilanda banjir semula dalam tempoh melebihi tiga bulan," katanya.Sehingga kini, katanya, seramai kira-kira 47,000 mangsa banjir gelombang pertama telah menerima bantuan wang ihsan masing-masing.Mengulas situasi PPS di Kuantan yang dilaporkan melebihi kapasiti, beliau berkata, kerajaan negeri diberikan kelonggaran untuk menggunakan lokasi alternatif termasuk sekolah, dewan atau premis lain yang bersesuaian.Beliau turut menyeru kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan bagi membantu urusan pascabanjir, khususnya melibatkan kerja pembersihan serta pembaikan kemudahan awam."Keutamaan kita adalah keselamatan dan kebajikan mangsa."Semua bantuan akan terus diselaraskan di peringkat negeri dan daerah," katanya.