Kes cerai Uqasha, Kamal Adli ke prosiding hakam selepas wujudnya shiqaq

MAHKAMAH Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Khamis menetapkan 12 Januari depan bagi prosiding hakam melibatkan kes penceraian pasangan selebriti, Uqasha Senrose dan Kamal Adli.Peguam syarie yang mewakili Uqasha, Muhammad Syazmee Sapian berkata, keputusan itu dibuat selepas laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) menunjukkan kedua-dua pihak terbabit gagal didamaikan.Menurutnya, mahkamah turut menasihati Kamal Adli selaku defendan untuk melafazkan talak, namun beliau enggan berbuat demikian."Asbab daripada keengganan pihak defendan melepaskan secara baik hari ini, prosiding seterusnya adalah kepada hakam setelah mahkamah mengambil kira faktor shiqaq, iaitu perbalahan dan persengketaan berpanjangan dalam rumah tangga pasangan terbabit."Jadi, berdasarkan laporan JKP, mahkamah menyatakan bahawa laporan tersebut sangat terperinci berkaitan kekasaran rumah tangga, pukul, nafkah serta pergaduhan yang tidak berkesudahan dalam rumah tangga," katanya kepada pemberita di sini.Muhammad Syazmee turut memaklumkan terdapat cubaan pihak defendan menangguhkan kes atas alasan anak guamnya tidak ‘fit’ untuk memfailkan kes, namun pihaknya bertegas bahawa hujahan itu hanyalah andaian semata-mata."Kami membalas dengan memohon kes diteruskan kerana tiada sebarang bukti dikemukakan oleh pihak defendan kepada mahkamah hari ini, justeru mahkamah bersetuju supaya kes diteruskan mengikut Seksyen 48 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003," katanya.Sebelum ini, Uqasha, 33, atau nama penuhnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal Adli, 39, pada 1 Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang selepas lima bulan mengikat tali pertunangan.Hasil perkahwinan tersebut, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, pada 27 April 2024.