HAH ALAM – Pelantikan Menteri baharu bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam rombakan Kabinet baru-baru ini menimbulkan kejutan dan persoalan dalam kalangan usahawan Bumiputera.Bekas Menteri KUSKOP, Tan Sri Noh Omar berkata, pandangan yang disuarakan bukan bersifat peribadi, sebaliknya berpaksikan pengalaman dan tanggungjawab moral demi masa depan usahawan Bumiputera.Beliau yang pernah dua kali menerajui kementerian itu pada 2008 dan 2021 berkata, matlamat utama KUSKOP adalah jelas, iaitu memperkasa usahawan Bumiputera."Selain itu, KUSKOP juga bermatlamat membangunkan ekosistem keusahawanan negara dan menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan menjelang 2030," katanya dalam kenyataan media pada Khamis.Menurut Noh, fokus kementerian itu diterjemahkan melalui pemerkasaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), peningkatan sumbangan usahawan Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pelaksanaan program latihan, pembiayaan dan pembangunan kemahiran berteknologi tinggi selaras Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PUTERA35).Beliau berkata, sepanjang menerajui KUSKOP yang sebelum ini dikenali sebagai MECD, kementerian itu diperkukuh dengan pelbagai agensi strategik termasuk TEKUN Nasional, SME Corp, SME Bank, Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Institut Koperasi Malaysia, Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia, UDA Holdings, INSKEN dan Amanah Ikhtiar Malaysia."Majoriti agensi ini memberi manfaat langsung kepada usahawan dan koperasi Bumiputera, khususnya golongan mikro, kecil dan sederhana."Malah, Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) yang bertanggungjawab memberi penarafan kontraktor Bumiputera juga berada di bawah KUSKOP," katanya.Jelas Noh, segala usaha tersebut dibina secara konsisten bagi memastikan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera terus terpelihara.Bagaimanapun, katanya, penyerahan portfolio KUSKOP kepada seorang Menteri daripada DAP, iaitu parti yang memperjuangkan prinsip kesamarataan dan sering mempertikaikan Dasar Ekonomi Baru (DEB), menimbulkan persoalan mengenai pembelaan terhadap nasib PMKS Bumiputera."Persoalan yang timbul, adakah semangat asal kementerian ini akan terus dipertahankan?"Adakah akan berlaku perubahan dasar secara senyap atas dasar 'kesamarataan baharu'? Atau adakah pelantikan ini sebahagian daripada kompromi politik dalam Kerajaan Perpaduan?" soal beliau.Menurut Noh, beliau tidak menuduh mana-mana pihak secara khusus, namun menegaskan bahawa rakyat tidak boleh berdiam diri kerana amanah dan perjuangan yang dibina sejak puluhan tahun atas nama DEB dan agenda Bumiputera tidak boleh diketepikan hanya kerana keperluan politik semasa."Rakyat berhak mendapatkan jaminan bahawa dasar, fungsi dan roh KUSKOP akan terus kekal selari dengan matlamat asal penubuhannya," katanya.Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat memberikan penjelasan tuntas dan komitmen yang jelas bahawa agenda pemerkasaan usahawan Bumiputera, koperasi dan PMKS akan terus diperkukuhkan."Ini penting kerana masa depan ekonomi Bumiputera adalah sebahagian daripada kestabilan dan kemakmuran negara," tambah beliau.