Video tular polis kopak pintu kereta, kejadian sebenar tangkapan suspek kes curi

KOTA KINABALU – Polis Kota Kinabalu mengesahkan bahawa video yang tular di media sosial memaparkan tindakan anggota polis mengopak pintu sebuah kenderaan adalah rakaman sebenar kejadian tangkapan melibatkan dua suspek kes curi di Telipok, di sini baru-baru ini.Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata tangkapan itu dibuat pada 12 Disember lalu, membabitkan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 28 dan 22 tahun.Menurutnya, kejadian bermula apabila seorang wanita tempatan berusia 56 tahun membuat laporan kehilangan sebuah beg silang yang mengandungi dokumen pengenalan diri, kad bank, telefon bimbit, wang tunai dan kunci kenderaan, dengan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM1,500."Semakan lanjut mendapati kenderaan yang digunakan suspek merupakan sebuah kereta sewa yang dilengkapi dengan Sistem Kedudukan Global (GPS)."Maklumat berkenaan kemudiannya disalurkan kepada pasukan polis dan pada hari yang sama, kira-kira jam 4.20 petang, anggota yang menjalankan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) berjaya mengesan kenderaan terbabit."Kejar-mengejar berlaku sebelum kenderaan suspek terbabas dan kedua-dua suspek berjaya ditahan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Kasim berkata, pemeriksaan ke atas suspek turut menemukan semula barangan milik mangsa."Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah."Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut berkaitan kes-kes lain," katanya.Beliau menambah, permohonan perintah reman telah dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, selain rakaman percakapan saksi-saksi dan tindakan siasatan susulan yang sedang dijalankan.Mengulas mengenai video tular tersebut, Kasim menegaskan bahawa rakaman itu adalah kejadian sebenar hasil daripada tindakan pantas anggota polis semasa menjalankan tugas."Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap keselamatan diri dan harta benda serta segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu pencegahan dan penyelesaian kes jenayah," katanya.Terdahulu, sebuah video berdurasi 28 saat tular di media sosial memaparkan tindakan anggota polis yang dilihat mengopak pintu sebuah kenderaan secara agresif, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.