Safee Sali terus agresif gilap ‘ubi muda’

LEGENDA bola sepak negara, Safee Sali membuktikan beliau tidak sekadar ‘duduk diam’ selepas bersara, sebaliknya terus agresif memperkasakan pembangunan akar umbi bola sepak.Beliau yang juga pengasas Super Safee Soccer School kini tampil aktif menerusi penganjuran kejohanan MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2025 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Perdana pada 27 Disember depan.Bekas penyerang berbisa Harimau Malaya itu berkata, inisiatif tersebut bertujuan mencungkil bakat baharu seawal usia lapan tahun, sekali gus menjadi platform terbaik buat kanak-kanak mempamerkan potensi mereka dalam suasana yang menyeronokkan.Menurut Safee, kolaborasi strategik bersama jenama produk kanak-kanak, MommyHana itu tercetus hasil keserasian visi kedua-dua pihak dalam memperkasa pembangunan komuniti setempat."Alhamdulillah, niat saya untuk kembali mencurahkan ilmu kepada akar umbi dan komuniti seiring dengan sasaran MommyHana."Dari situ terjalin kerjasama untuk memberi fokus kepada pembangunan akar umbi," katanya.Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MommyHana, Mohd Farid Mohamed Sangido.Pemenang Kasut Emas Piala AFF 2010 itu memaklumkan, kejohanan tersebut mendapat sambutan luar biasa daripada kelab-kelab bola sepak sekitar Lembah Klang dan negeri jiran, namun penyertaan dihadkan kepada 32 pasukan sahaja demi memastikan kualiti penganjuran.Jelasnya, kejohanan itu melibatkan empat kategori umur iaitu bawah lapan, 10, 12 dan 14 tahun dengan lapan pasukan bagi setiap kategori."Semua slot sudah penuh dan masih ada pasukan dalam senarai menunggu. Kita mahu pastikan hanya pasukan yang benar-benar komited mengambil bahagian," ujarnya.Mengulas mengenai kualiti pemain cilik masa kini, Safee mengakui terkejut dengan perkembangan positif yang ditunjukkan, khususnya dalam kalangan pemain berusia 10 hingga 12 tahun."Saya terkejut dengan kematangan permainan mereka. Bakat memang ramai dan peluang untuk menjadi pelapis negara sangat cerah," katanya.Kejohanan itu dijangka menarik kehadiran antara 1,500 hingga 2,000 pengunjung dengan menawarkan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM5,200 merangkumi piala, pingat, anugerah pemain terbaik serta baucar tunai.