REMBAU – Polis mengesahkan penemuan satu mayat di dalam sebuah beg di sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Pedas, di sini pada Khamis.Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, identiti mangsa belum dapat dikenal pasti dan pihaknya masih menjalankan siasatan."Mayat telah dihantar ke Hospital Rembau dan proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dijangka jam 9.30 pagi esok," katanya.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa seorang wanita berusia 31 tahun yang merupakan salah seorang anak kepada pemilik rumah tersebut, memaklumkan rumah itu telah tidak berpenghuni sejak dua tahun lalu dan mereka hanya pulang sekali-sekala untuk mengambil barang serta membersihkan kawasan rumah."Kira-kira jam 4 pagi tadi, ibu saudara saya telefon beritahu polis mahu meminta kebenaran untuk membuat pemeriksaan di rumah."Masa itu saya tidak tahu lagi kenapa polis mahu buat pemeriksaan. Kemudian, sekitar jam 7 pagi, ibu saudara hubungi sekali lagi untuk minta kunci rumah dan adik saya telah menyerahkannya," katanya.Jelas wanita yang merupakan anak ketujuh daripada sepuluh beradik itu, dia hanya mengetahui tentang penemuan mayat di bahagian belakang rumah peninggalan arwah ibunya sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian sekitar jam 9 pagi.Tambahnya, kali terakhir beliau datang ke rumah itu adalah pada 4 Disember lalu, selepas pulang ke Rembau untuk mengambil barang."Pada waktu itu memang tiada apa-apa yang mencurigakan. Buat masa ini, saya juga tidak tahu secara lanjut mengenai kes ini," katanya.