SERDANG – Gara-gara tidak berpuas hati berhubung perniagaan yang dijalankan di aplikasi TikTok, seorang pekerja restoran makanan segera cedera dipukul dalam kejadian di Serdang Raya, di sini, pada 8 Disember lalu.Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 4 petang."Mangsa, seorang wanita berbangsa India berusia 45 tahun, ketika itu sedang bekerja di sebuah restoran makanan segera berkenaan sebelum didatangi tujuh individu terdiri daripada tiga lelaki dan empat wanita."Daripada kumpulan berkenaan, seorang suspek wanita yang dikenal pasti melalui aplikasi TikTok bertindak menyerang dengan menumbuk muka sebelah kiri mangsa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Katanya, akibat kejadian itu mangsa mengalami bengkak pada pipi kiri serta luka kecil di bahagian dalam bibir kiri."Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek berkaitan perniagaan yang dijalankan di aplikasi TikTok."Seorang suspek wanita berusia 40 tahun telah dipanggil untuk diambil keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan," katanya.Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan."Kes masih dalam siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut."Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 03-8074 2222," katanya.